1/25/2014

Anggota Polis Parah Langgar Pintu Kereta

SERDANG – Seorang anggota polis dari Balai Polis Kinrara cedera parah apabila motosikal ditungganginya merempuh pintu sebuah kereta ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi, mangsa, Konstabel Mohamad Basri Yusof, 22, dikatakan menunggang sendirian dari rumahnya di Taman Medan, Petaling Jaya menuju ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

Ketika berada di simpang jalan Bandar Kinrara 6, sebuah kereta jenis Peugeot 306 yang dipandu seorang pengarah syarikat televisyen bersatelit dikatakan membelok untuk masuk ke simpang kanan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, mangsa yang dipercayai tidak sempat menekan brek merempuh bahagian pintu penumpang sebelah depan kenderaan tersebut menyebabkannya tercampak ke atas jalan.

Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke bahagian kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa yang menunggang sendirian melanggar pintu kiri depan kenderaan di depannya ketika pemandu kereta membelok untuk masuk ke simpang kanan taman perumahan.

“Kes dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, siasatan terperinci masih dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, keadaan mangsa dilaporkan masih kritikal akibat kecederaan di bahagian kepala.
sumber : sinarharian

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets