2/24/2014

Anak derhaka terima hukuman

KUALA TERENGGANU - Perbuatan biadab seorang lelaki yang tergamak memaki hamun dan mengugut ibu kandungnya akhirnya menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Wan Mohd Ghazali Wan Yaakob, 44, dari Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa, Minah @ Ramlah Ali, 70, dengan tujuan hendak mendatangkan kecederaan dan menyebabkan mangsa berasa takut.

Dia mengaku salah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah itu di Kampung Batu Satu, di sini, kira-kira jam 7 malam, 4 Februari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala Wan Mohd Ghazali tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian, mangsa baru pulang ke rumahnya selepas 25 hari ditahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) , di sini kerana kencing manis dan darah tinggi.

Sebaik tiba di rumah, mangsa mendapati pintu rumahnya dikunci menyebabkan warga emas itu memanggil anaknya, Wan Mohd Ghazali sebelum tingkap rumahnya dibuka seorang lelaki yang juga rakan anaknya yang memaklumkan dia adalah penjaga rumah berkenaan.
Curiga dengan tindak tanduk itu, mangsa meminta tolong anak saudaranya untuk membuka pintu rumahnya dan sebaik berjaya masuk, mangsa yang kepenatan duduk di atas kerusi di dalam rumahnya.

Bagaimanapun, Wan Mohd Ghazali tiba-tiba muncul dan ingin memukul mangsa tetapi berjaya dielak. Dia bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa membuang barang seperti botol dan kotak miliknya sebelum ini.

Bukan itu saja, Wan Mohd Ghazali turut memaki hamun ibunya tanpa mengendahkan keadaan mangsa yang uzur dan lemah itu.

Dia juga pernah mengugut mangsa dengan memaklumkan akan memukulnya sekiranya pulang ke rumah.

Sinar Harian pada 6 Februari lalu ada menyiarkan kepulangan seorang warga emas ke rumahnya selepas terlantar di hospital bukan saja tidak dialu-alukan si anak sebaliknya wanita terbabit turut dihamburkan dengan kata-kata kesat selain nyaris dibelasah dalam kejadian di Kampung Batu Satu, di sini.sinarharian

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets