2/21/2014

Bapa redha hilang dua anak serentak

SEGAMAT - Bapa kepada dua beradik yang dilapor antara lapan remaja dipercayai lemas dalam kejadian di Sungai Kasap di sini hari ini, reda dengan ketentuan Ilahi yang menimpa keluarganya.

Zaidi Ujang, 47, berkata sekalipun tidak menduga hilang dua anak lelaki serentak, beliau bersyukur kerana mayat seorang daripada anaknya, Mohd Zikri, 14, sudah ditemui.

Kami masih menunggu nasib Mohd Zaki, 16, katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Setakat 8 malam ini, pasukan mencari dan menyelamat menemui tiga mayat iaitu Mohd Zikri, Mohd Hafizul Danial Norhashim, 16; dan Nazirul Aminuddin Zamri, 15.

Usaha mencari dan menyelamat lima lagi mangsa iaitu Mohd Zaki, Mohd Shafiq Mohd Syukur, 16; Mohd Hafizuddin Kamal, 16; Mohd Izuan Hakimi, 16; dan Mohd Nazreen Zainal, 14 masih diteruskan.

Zaidi berkata menjadi kelaziman dua beradik itu berjoging di kawasan berkenaan, namun beliau sering menasihati mereka agar tidak mandi-manda di kawasan lombong yang berpasir.

"Saya menerima berita mengenai anak saya lemas di sungai ini pada kira-kira pukul 10 pagi tadi daripada isteri saya, Kamisah Bakar dan terus bergegas ke sini," kata bapa kepada enam anak itu.

Sementara itu Ami Mohd Dom, 65, berkata cucunya Mohd Nazri Zainal antara yang masih belum ditemui.

Saya doakan dia cepat ditemui, katanya. Menurut Ami, cucunya itu merupakan anak ketiga daripada empat beradik dan bersekolah di tingkatan dua di Sekolah Menengah Kebangsaan Buloh Kasap.

Dalam kejadian 8.50 pagi tadi, 13 remaja dipercayai sedang berekreasi di sungai itu apabila seorang daripada mereka dikatakan menghadapi kesukaran ketika berada di dalam sungai.

Keadaan itu menyebabkan tujuh rakannya cuba membantu namun mereka juga berhadapan kesukaran sebelum dilapor tenggelam.

Lima lagi selamat. - Bernama

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets