2/17/2014

batu seberat 8 kg hempap kereta

  • Batu seberat 8 kg hempap kereta

SHAH ALAM – Penduduk di blok 58 Pangsapuri Alunan Bayu, Seksyen 24, di sini, gempar apabila bongkah batu seberat lapan kilogram dipercayai terjatuh dari aras bumbung pangsapuri berkenaan, lalu menghempap sebuah kereta, semalam.

Mangsa, Mohd Nizar Abdul Rahim, 32, berkata, dia menyedari kejadian itu setelah dimaklumkan oleh salah seorang penduduk kira-kira jam 4.40 petang.

“Ketika kejadian saya tengah tidur, sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kilat. Sebelum tu terdengar bunyi penggera kereta, saya ingatkan bunyi penggera itu milik kereta orang lain.

“Kemudian saya menerima SMS daripada salah seorang penduduk di sini yang memaklumkan ada bongkah batu menghempap kereta Proton Saga BLM milik saya,” katanya.

Mohd Nizar berkata, bongkah batu itu menghempap bumbung kereta dan mengenai cermin sisi bahagian pemandu.

“Saya menganggarkan kerugian kira-kira RM2,000. Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Seksyen 15 sejurus selepas kejadian,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri berkenaan, Anwar Sakimon mempersoalkan penebat kilat di bangunan berkenaan sama ada ia berfungsi.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika hujan lebat dan petir, sebelum penduduk terdengar dentuman kuat disebabkan bongkah batu yang dipercayai dipanah petir sebelum menghempap kereta
berkenaan. Mujurlah bongkah itu tidak terkena penduduk di sini.

“Kita mohon Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebagai pemaju tampil menyiasat punca sebenar kejadian tersebut dan mengambil tindakan lanjut demi kesejahteraan penduduk di sini,” katanya.

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets