2/17/2014

Mengaku anak buah elak dicekup jabatan agama

TAMPIN – “Ini mak saudara saya,” jawab seorang lelaki berusia 43 tahun apabila ditanya mengenai hubungannya dengan seorang wanita ketika diserbu oleh penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di sebuah premis rumah kedai dekat bandar ini, awal pagi semalam.

Dalam serbuan sempena Ops Mungkar yang melibatkan kira-kira 20 anggota penguatkuasa JHEAINS itu, lelaki berkenaan berada di dalam sebuah bilik bersama seorang wanita berusia 33 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang merupakan anak wanita berkenaan.
Bagaimanapun, lelaki berkenaan menukar jawapannya apabila ditanya sekali lagi oleh penguatkuasa mengenai hubungannya dengan wanita berkenaan iaitu daripada status mak saudara kepada sepupu.
“Dia sepupu saya. Saya hanya menumpang tidur pada malam ini sahaja kerana baharu sampai ke sini. Kami tidak buat apa-apa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, pada operasi berkenaan, seramai enam individu ditahan di beberapa hotel bajet dan premis sekitar bandar.

"Daripada jumlah itu, sepasang kekasih berusia 19 tahun yang juga pelajar di salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Alor Gajah, Melaka turut ditahan.

"Ketika serbuan, pasangan perempuannya sedang tidur di atas katil. Pelajar lelaki berkenaan berasal daripada Johor. Manakala, pelajar perempuan berkenaan berasal dari Pulau Pinang," katanya.

Ahmad Zaki berkata, kesemua pasangan terbabit berusia lingkungan 18 hingga 30-an ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Sekyen 61(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan iaitu percubaan melakukan persetubuhan haram.

"Kesemua mereka dibawa ke bahagian penguatkuasaan untuk tindakan lanjut dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya," katanya.

Katanya, operasi berkenaan merupakan sambungan daripada Ops Valentine Day yang dijalankan sejak malam 13 Februari lalu bermula di Port Dickson, diikuti malam keduanya di sekitar Seremban dan Nilai.

“Operasi seperti ini akan dilakukan dari semasa ke semasa dalam usaha mendidik masyarakat untuk mematuhi undang-undang di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan dan tidak bersikap sambil lewa terhadap kesalahan di bawah enakmen ini," katanya.

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets