3/06/2014

A Golden Moment With Hafiz, cabar kemampuan

MULA melakar kejayaan sejak tahun pertama menjejakkan kaki di arena seni suara disusuli pengukuhan koleksi anugerah saban tahun, Juara Akademi Fantasia musim ke-7, Hafiz Suip, kini sudah bersedia mempamerkan kebolehannya dalam mengendalikan sebuah persembahan Minggu Setiausaha yang dinamakan A Golden Moment With Hafiz.

Bakal berlangsung pada 22 April depan bermula jam 12 tengahari hingga 4 petang, acara anjuran COOP Matrade dengan kerjasama AMI Global Sdn Bhd, akan diadakan di dewan megah Matrade Hall, Matrade Exhibition & Convention, Jalan Khidmat Usaha, Off Jalan Duta.

Menariknya mengenai A Golden Moment With Hafiz ia disifatkan cukup peribadi buat bintang kelahiran Astro itu kerana lebih daripada sebuah persembahan nyanyian.

“Apabila bercakap mengenai Minggu Setiausaha, lazimnya ia platform buat artis-artis A List dan bertaraf penghibur, sedangkan saya masih baharu dalam arena seni suara.

“Saya gementar menjayakan acara ini namun kepercayaan yang diberikan penganjur COOP Matrade dengan kerjasama AMI Global Sdn Bhd, memberi keyakinan untuk saya mencuba.

“Tambahan pula, pengalaman lima tahun dalam bidang nyanyian, sudah sampai masanya saya perlu mencabar diri dan menimba pengalaman di pentas yang melengkapkan ilmu seorang penyanyi kepada penghibur,” kata Hafiz.

Tema yang dipilih penganjur iaitu A Golden Moment With Hafiz, mempunyai tafsiran tersendiri. gold atau emas sesuatu yang berharga begitu juga pentingnya acara ini buat Hafiz kerana ia adalah Minggu Setiausaha solo dan pertama yang dijayakan.

Penampilan khas Adira

Pada persembahan itu nanti Hafiz bakal menampilkan rakan seangkatannya juga pasangan duetnya menerusi lagu Ombak Rindu, siapa lagi kalau bukan, Adira.

Sekurang-kurangnya lapan buah lagu hit terkandung di dalam koleksi albumnya akan diperdengarkan pada acara itu nanti termasuk seleksi lagu-lagu Allahyarham Sudirman Hj Arshad yang disampaikan secara medley.

Persembahan mereka akan diiringi Pengarah Muzik, Aznan Alias.

Pastinya acara ini turut menjanjikan kelainan apabila artis versatil, Afdlin Shauki, yang juga seorang pelakon, pengarah, pelawak dan penyanyi, bertindak sebagai pengacara acara yang dinantikan ramai itu.

Satu lagi tarikan buat Setiausaha yang kebanyakannya adalah wanita, terdapat satu segmen Fashion Show kendalian dua pereka fesyen iaitu Amer Rafiqee dan Erry Anuwar.

Bagi mereka yang enggan terlepas peluang menyaksikan persembahan Hafiz juga Adira dan Afdlin,  tiket jual pada harga RM780 untuk tiket Platinum, manakala RM680 (Emas) dan RM580 (Perak).

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets