3/05/2014

Dera Anak Angkat Guna Seterika Panas

KUANTAN - “Perbuatan kamu langsung tidak berperikemanusiaan. Walaupun dia hanya anak angkat, amanah itu sepatutnya dijaga bukan didera.

“Dalam usianya baru tujuh tahun, dia terpaksa berdepan tekanan emosi selain kecederaan fizikal yang serius akibat perbuatan kamu,” tegur Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah terhadap seorang peniaga, Abdul Muhamad Khalifah Ali, 39.

Tertuduh yang beralamat di Taman Tas, dekat sini sebelum itu mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mendera anak angkatnya menggunakan seterika panas, di sini, September tahun lalu.

Mangsa yang dijaga tertuduh dan isterinya sejak kecil dilaporkan melecur di beberapa bahagian badan termasuk lengan, tapak kaki dan badan akibat ditekap seterika panas dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi di rumah mereka di Lorong Tas 24, Taman Tas dekat sini, 5 September tahun lalu.

Tertuduh dihukum penjara 12 bulan dari tarikh tangkap dan didenda RM5,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Terdahulu sebelum itu, tertuduh yang ditemani isterinya memaklumkan mereka menjaga tiga anak angkat termasuk mangsa selain tiga anak kandung.

Menurutnya, dia sering kali hilang sabar dengar karenah mangsa, bagaimanapun tertuduh tidak dapat menjelaskan sifat atau kelakuan sebenar anak angkatnya itu.

Justeru, tertuduh juga merayu agar hukuman ke atasnya diringankan memandangkan dia kini menyara tiga anak kandung dan dua anak angkat yang masih bersamanya dengan pendapatan kira-kira RM1,800 sebagai peniaga.

Menurutnya, mangsa kini tidak lagi tinggal bersama sebaliknya diletakkan di bawah Jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kuala Kangsar, Perak.

Berdasarkan fakta kes, seorang pegawai JKM (pengadu) menerima laporan berhubung kes dera membabitkan mangsa yang juga pelajar sebuah sekolah rendah, dekat sini.

Susulan maklumat itu, pengadu ke sekolah tempat kanak-kanak terbabit belajar untuk melakukan siasatan, bagaimanapun mangsa tidak hadir ke sekolah pada hari tersebut.

Pengadu ke rumah keluarga angkat mangsa di Taman Tas dan menjumpai kanak-kanak itu dalam keadaan lemah dengan kesan melecur di beberapa bahagian anggota badan.

Pengadu membuat laporan polis manakala mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk pemeriksaan dan disahkan kecederaan dialami kesan penderaan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Ungku Alfiati Zabeidah Ungku Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets