3/17/2014

Ebby Yus Tak Rasa Diri Seorang Pelawak


SIAPA sangka percubaan pertamanya berlakon dalam drama bersiri komedi berjudul Ala Emak Kahwinkan Aku sekitar era 1990-an telah membuka dimensi baharu dalam kerjaya lakonan Ebby Yus.

Ironinya, ketika mula terbabit dalam bidang seni pada tahun 1983, pemilik nama sebenar Muhammad Yunus Abdul Rashid itu kerap memegang watak serius atau aksi serta memiliki asas dalam seni mempertahankan diri.

Bertemu dengan Ebby sewaktu majlis pelancaran program Bintang Mencari Bintang musim kedua (BMB 2) di SACC Mall, Shah Alam, Selangor minggu lalu, dia menjelaskan bahawa peralihan kepada bidang komedi berlaku secara tidak disengajakan.

“Drama bersiri komedi pertama yang saya berlakon ialah Ala Emak Kahwinkan Aku yang diarahkan oleh Aziz M. Osman. Ketika ditawarkan berlakon saya agak terkejut kerana tidak pernah berlakon komedi.

“Kemudian saya telah dipaksa oleh Aziz supaya menerima tawaran berkenaan, meskipun cuba menolak kerana tidak yakin.

“Kemudian, saya menerimanya atas dasar kawan dan hubungan baik dengan pengarah tersebut dan tidak sangka ia terus menjadi,” ujar pelakon kelahiran Jempol, Negeri Sembilan itu.

Menyatakan Aziz merupakan individu pertama yang mengesan bakat komedi yang dimilikinya itu, Ebby berkata, selepas berlakon dalam Ala Emak Kahwinkan Aku, dia kerap ditawarkan berlakon dalam drama komedi atau sitkom.

Biarpun kini dikenali sebagai seorang pelawak lantaran aksi yang begitu lucu ketika tampil di kaca televisyen tetapi sehingga kini dia merasakan dirinya bukanlah seorang pelawak.

“Saya masih berasa diri ini tidak berada setanding dengan pelawak yang lain. Selain itu, saya lebih selesa untuk sentiasa merendah diri kerana masih banyak lagi pengalaman yang perlu saya peroleh.

“Kalau kita melihat kepada ciri-ciri yang ada kepada seseorang pelawak itu, salah satunya ialah tidak memiliki sebarang perasaan segan.

“Sedangkan saya masih mempunyai perasaan sedemikian sehingga sekarang,” ujarnya.

Sementara itu, apabila ditanya sama ada dia kini lebih selesa menerima tawaran berlakon komedi sahaja, kata Ebby, dia sebenarnya tidak kisah membawakan sebarang watak.

Menjelaskan dirinya bukanlah seorang yang gemar memilih sesuatu watak yang ditawarkan, sebaliknya tiada pihak sekarang ini yang ingin menawarkan kepadanya watak selain komedi.

“Apabila saya memberitahu ingin membawakan watak yang serius, kebanyakan pengarah dan penerbit seperti tidak percaya dengan permintaan tersebut serta mentertawakan saya pula.

“Jadi, buat masa ini saya memang lebih kerap ditawarkan watak komedi, namun keinginan membawakan watak yang pernah dibawakan sewaktu kemunculan awal saya dalam bidang lakonan dahulu masih ada,” ujarnya.

Jodoh

Pada usianya yang sudah mencecah 49 tahun sekarang serta popularitinya yang semakin memuncak, Ebby turut ditebak tentang bila dia akan menamatkan zaman bujangnya.

Sangat terbuka dan tidak berkecil hati dengan soalan yang diajukan kepadanya itu, pelakon itu menyatakan sebagai seorang lelaki sudah tentu hasrat untuk mendirikan rumah tangga itu masih ada.

“Kalau diikutkan, sejak 20 tahun yang lalu saya ingin berkahwin tetapi ia semuanya berkaitan dengan soal jodoh.

“Tidak kisah sama ada cepat atau lambat, saya serah semuanya pada takdir.

“Bukan tidak pernah mencuba mencari pasangan hidup, cuma hubungan yang terjalin biasanya tidak berkekalan sehingga susah hendak mencuba lagi. Biarlah jodoh itu datang sendiri kepada saya nanti,” ujarnya.

Ditanya mengenai perkembangan terbaharunya pula, ketika ini dia telah dilantik sebagai tenaga pengajar kepada dua peserta, kumpulan PK dan Sumbu yang bersaing dalam BMB 2.

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets