3/08/2014

Guru Pukul Murid Tahun 2 Hingga Bedarah

KUALA KUBU BHARU - Tanpa alasan munasabah seorang murid sekolah  tahun dua  didakwa ditampar, dibaling pembaris dan dipukul dengan pembaris kayu di kepala sehingga cedera oleh seorang guru.

Bapa kepada kanak-kanak malang itu, Shahrul Azlan Ahmad Barai, 35, berkata, tindakan guru sekolah terbabit sangat keterlaluan dan dilakukan tanpa memikirkan kesan terhadap anak muridnya.

“Saya tanya cikgu tu apa alasan dia pukul anak saya sampai jadi begini, tapi dia hanya katakan anak saya susah dikawal. Saya cakap tak wajarlah cikgu pukul anak murid dengan pembaris, di kepala, di ubun-ubunnya sehingga cedera dan berdarah. Saya pesan pada cikgu tu, kalau nak mendidik murid boleh pukul di tempat lain tapi bukan di kepala,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Arif semalam.

Katanya, laporan polis juga telah dibuat dan anaknya telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, laporan doktor mengatakan anaknya hanya mengalami bengkak dan luka di kepala, namun jika terdapat tanda-tanda sampingan seperti muntah langkah susulan perlu diambil termasuk melakukan imbasan (x-ray).

Shahrul Azlan berkata, perkara tersebut telah dirujuk kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), bagaimanapun dia tidak berpuas hati jika hanya surat amaran diberikan kepada guru terbabit.

“Sebelum itu, saya bawa kes ni ke balai polis dan dua tindakan boleh diambil sama ada teruskan kes polis dan cikgu itu di reman serta bakal dibuang kerja atau bawa kepada PPD untuk tindakan undang-undang.

“Jadi, saya bawa kepada PPD, tapi jika surat amaran saja diberikan saya tidak puas hati sebab ini melibatkan kecederaan murid sekolah. Saya mahu cikgu itu ditukarkan ke sekolah lain,” katanya dengan nada tegas.

Menurut Shahrul Azlan, Kementerian Pendidikan harus memandang serius kejadian tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya agar perkara serupa tidak berulang.

Menurutnya, tindakan guru itu berniat mencederakan dan bukan bermaksud mendidik atau mendisiplinkan murid.

“Cikgu pukul dengan niat mencederakan bukan niat mendidik kerana kesannya adalah mencederakan sehingga anak saya trauma. Kalau cikgu tidak dapat kawal anak murid, boleh berikan kaunseling atau panggil ibu bapa.

"Boleh pukul dengan rotan di tangan atau kaki, tapi bukan di kepala dengan pembaris hingga cedera,” katanya.

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets