3/04/2014

Kisah tewasnya si raja dadah

BULAN lalu, nama Guzman atau lebih dikenali sebagai El Chapo mula diperkatakan semula susulan penangkapannya setelah terlibat dalam jenayah dadah sejak puluhan tahun.

Joaquin Guzman Loera Archivaldo merupakan kartel dadah terbesar di Mexico yang mengetuai Sinaloa Cartel, sebuah kumpulan jenayah yang diambil nama dari tempat penubuhannya di Sinaloa.

Lebih dikenali sebagai El Chapo Guzman atau 'Orang Pendek Guzman', dia menjadi penjenayah paling dikehendaki sejak 2003 selepas penangkapan pesaingnya, Osiel Cardenas. Sehingga penangkapannya Februari lalu, Guzman dianggap sebagai pengedar dadah paling berkuasa di dunia oleh Jabatan Kewangan Amerika Syarikat.

Sejak 2009, Guzman berada di tempat ke-41, 60 dan 55 untuk tiga tahun berturut-turut sejak 2009 sebagai salah seorang paling berkuasa di dunia seperti disenaraikan majalah Forbes. Malah dia turut tersenarai sebagai lelaki ke-10 paling kaya di Mexico pada 2011 dengan nilai kekayaan lebih RM3.28 bilion.

Sepanjang bergelumang dalam dunia dadah, Guzman menyeludup multi tan kokain dari Colombia ke AS selain mempunyai pengedar di seluruh AS. Organisasi tersebut juga dikatakan terlibat dalam pengeluaran, penyeludupan dan pengedaran methamphetamine, marijuana dan heroin di pasaran Eropah dan Amerika Utara.

Pada 1993, Guzmah ditahan di Guatemala dan dikenakan penjara 20 tahun di Mexico kerana membunuh dan menyeludup dadah. Namun, dia dapat melarikan diri dengan merasuah pengawal penjara pada 2001.

Akibatnya, Guzman menjadi orang paling dikehendaki di Mexico, AS dan Interpol. Habuan AS$5 juta (RM16 juta) turut ditawarkan kerajaan AS dan AS$2 juta (RM7 juta) ditawarkan Mexico kepada mereka yang berjaya menyampaikan maklumat sehingga membawa kepada penangkapan Guzman. Pada 22 Februari 2014, Guzman ditahan sekali lagi selepas ditemui di sebuah kondominium di Mazatlan, Sinola.

Kehidupan Peribadi

Guzman dilahirkan dalam keluarga miskin di komuniti La Tuna Badiraguato, Sinaloa, Mexico. Bagaimanapun, terdapat pertindihan tarikh lahirnya kerana sesetengah pendapat menyatakan dia dilahirkan pada 25 Disember 1954, dan kebanyakan yang lain menyatakan dia dilahirkan pada 4 April 1957.

Bapanya, Emilio Guzman Bustillos adalah pengembala lembu. Ada juga sumber menyatakan bapanya seorang petani popi. Guzman mempunyai dua adik perempuan, Armida dan Bernada serta empat adik lelaki; Miguel Angel, Aureliano, Arturo dan Emilio. Tiga lagi abangnya dikatakan meninggal dunia ketika Guzman masih kecil.

Ketika zaman kanak-kanaknya, Guzman menjual oren bagi membantu perbelanjaan keluarga dan berhenti sekolah pada darjah tiga untuk bekerja dengan bapanya. Dia kerap dipukul dan sering melarikan diri ke
rumah neneknya.

Bagaimanapun, ketika berada di rumah, Guzman sering bertindak sebagai penyelamat untuk adik-adiknya daripada dipukul. Selepas mencuba beberapa jenis pekerjaan, Guzman beralih kepada penanaman popi candu, amalan biasa yang dilakukan penduduk di kampungnya.

Semasa musim menuai, Guzman dan adik beradiknya tabah mengatur langkah mendaki bukit di Badiraguato untuk mengambil hasil tanaman. Selepas tanaman disusun dalam kilogram, bapanya menjual kepada pembekal lain di Culiacan dan Guamuchil.

Selain itu, bapanya juga menjual marijuana di pusat komersial di kawasan berhampiran dengan ditemani Guzman. Semasa berusia 15 tahun, Guzman membuat keputusan menanam ganja sendiri dibantu empat orang sepupunya Arturo, Alfredo, Carlos dan Hevtor yang tinggal berhampiran.

Dengan pengeluaran pertama tanaman ganja, Guzman dapat membantu perbelanjaan rumah keluarganya. Tetapi malangnya, dia diusir bapa dan kemudian tinggal bersama datuknya.

Gelaran nama El Chapo, iaitu slanga bagi pendek dalam bahasa Mexico diperoleh berdasarkan penampilannya yang rendah iaitu hanya 168 sentimeter dan sedikit gempal. Walapupun kebanyakan penduduk di Badiraguato bekerja di ladang popi di Sieraa Madre Occidental, Guzman bertindak meninggalkan kampung halamannya kerana mempunyai cita-cita lebih besar.

Keluarga

Melalui bapa saudaranya, Pedro Aviles Perez, salah seorang perintis pengedar dadah di Mexico, Guzman meninggalkan Badiraguato pada usia awal 20 an dan menyertai jenayah terancang. Sekitar 1977, Guzman mengahwini Alejandrina Maria Salazar dan dikurniakan tiga cahaya mata, Cesar, Ivan Archivaldo dan Jesus Alfredo.

Pertengahan 1980 an, Guzman berkahwin sekali lagi dengan Griselda Lopez Perez dan mempunyai empat orang anak. Kebanyakan anak lelaki Guzman mengikut jejaknya terlibat dalam kancah
jenayah dadah.

Pada November 2007, Guzman mengahwini ratu cantik berusia 18 tahun Emma Coronel Aispuro, yang juga anak kepada salah seorang ketuanya. Mereka dikurniakan sepasang kembar
perempuan.

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets