3/19/2014

Lelaki Maut Leher Kena Tetak


SUBANG JAYA – “Dia cuba bangun dan lari setelah ditetak kali pertama, tapi lelaki yang datang ditemani seorang perempuan itu terus menetak tengkuk mangsa berkali-kali. Lepas tu saya lihat dia dah tak bergerak," demikian menurut seorang peniaga nasi lemak, Waliah Made, 55.

Waliah yang menyaksikan kejadian pembunuhan seorang warga Myanmar di Taman Perindustrian Maju Jaya, pagi semalam berkata, mangsa ketika itu sedang berjalan kaki untuk menghantar barang makanan dari pasar mini tempatnya bekerja ke medan selera berdekatan.

Sebelum kejadian, dia menyedari seorang lelaki dan wanita meletakkan motosikal di tempat parkir berhampiran bangunan rumah kedai tiga tingkat berkenaan.

Menurutnya, dia ternampak lelaki tersebut terus menetak tengkuk mangsa dan dalam keadaan berlumuran darah mangsa bangun dan berlari untuk menyelamatkan diri.

Mangsa dikejar sejauh 20 meter dan terus diserang bertubi-tubi menggunakan parang sehingga dia rebah berdekatan tangga rumah kedai tersebut.

“Saya hanya berani lihat dari jauh, apabila mangsa sudah tidak bergerak saya terus memaklumkan kejadian kepada pemilik pasar mini tempat dia bekerja,” katanya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 7.55 pagi.

Pemeriksaan mendapati mangsa bekerja sebagai penghantar barang dan dikenali sebagai Khin Win Maung, 34.

Leher mangsa dikelar sepanjang  tiga inci, terdapat dua kesan hentakan di belakang kepala berukuran satu inci dan kesan luka di belakang badan sebelah kanan dpercayai dibelasah dengan objek tumpul.

Yahaya berkata, mangsa tinggal di kawasan sama bersama isteri dan bekerja di tempat yang sama sejak tiga tahun lalu.

Kedua-duanya menyewa sebuah bilik terletak di belakang kedai tempat mereka bekerja.

Maklumat mengatakan berlaku pergaduhan antara kumpulan warga Myanmar yang dipercayai dalam keadaan mabuk, Ahad lalu.

“Kita percaya ia bermotif dendam,” katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. Suspek masih diburu dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian difahamkan ia kes pembunuhan ketiga membabitkan warga Myanmar di kawasan berkenaan sejak setahun lalu.

Kawasan berkenaan didakwa menjadi port warga Myanmar menikmati minuman keras sebelum akhirnya bergaduh sesama sendiri.

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets