3/15/2014

Pelatih maut dipercayai dipukul


TUMPAT – Seorang pelatih di sebuah pusat rawatan tradisional pemulihan dadah yang ditemui tidak sedarkan diri dalam bilik, meninggal dunia awal pagi kelmarin, dipercayai dipukul.

Mangsa berusia 18 tahun, dari Kota Bharu, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tumpat selepas dibawa pengasas pusat tersebut, Mohd Zain Abu Bakar, 74, bersama dua pekerjanya.

Mohd Zain berkata, dia dimaklumkan mangsa tidak sedarkan diri pada jam 2.30 pagi ketika sedang berbual dengan pengawal keselamatan di tingkat bawah blok pelatih itu ditempatkan.

“Saya dikejutkan dengan jeritan seorang pelatih di bilik atas mengatakan mangsa tidak sedarkan diri, ketika itu saya sedang berbual dengan pengawal keselamatan di tingkat bawah,” katanya.

Sebelum itu, Mohd Zain berkata, pengawal keselamatan mendakwa melihat mangsa keluar dari tandas seperti dalam keadaan sesak nafas.

“Mangsa dikatakan jalan terbongkok-bongkok menahan kesakitan dan ketika itu jam 1 pagi tetapi saya dimaklumkan lewat mengenai kejadian tersebut.

“Setelah mangsa pengsan, baru salah seorang pelatih menjerit memanggil saya,” katanya.

Mohd Zain memberitahu, di dalam bilik tingkat atas itu ditempatkan 12 pelatih termasuk mangsa dan mangsa baru empat bulan menjalani rawatan di pusat ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

Menurutnya, 11 pelatih di pusat tersebut berumur antara 16 hingga 26 tahun dan seorang warden berumur 43 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

 Dalam pada itu, di Kota Bharu, seramai 12  orang termasuk seorang warden berusia 43 tahun ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung kematian pelatih berkenaan.

 Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Mohd Isa Mohamad pada jam 10.30 pagi semalam di mahkamah Majistret Kota Bharu.

 Kesemua mereka direman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.sinarharian

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets