3/16/2014

Pesawat Berpatah Balik Kuatkan Teori MH370 Di Rampas


Pengesahan pesawat MAS MH370 berpatah balik menguatkan lagi kemungkinan pesawat itu dirampas.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Datuk Ishak Yeop Hamzah berkata, ia juga berdasarkan lingkungan kawasan pesawat itu boleh pergi, yang menyimpang daripada laluan asalnya ke Beijing, China setelah komunikasi terakhir dengan satelit pada jam 8.11 pagi, Sabtu minggu lalu.

“Ini bermakna ada seseorang yang berjaya masuk ke dalam kokpit dan menyuruh juruterbang pergi ke destinasi dikehendakinya. Teori rampasan ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Perdana Menteri bahawa pesawat itu dipandu oleh orang yang arif mengenai penerbangan.

“Individu yang merampas pesawat itu mungkin memberi arahan kepada juruterbang. Ataupun mungkin individu itu sendiri yang membawa pesawat itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang media mengesahkan pesawat tidak dikenali yang dikesan radar utama merupakan pesawat MH370 yang telah menyimpang dari laluan asalnya.

Berikutan itu, pencarian MH370 kini ditumpukan di dua koridor iaitu Koridor Utara dari utara Thailand sehingga sempadan Kazakhstan dan Koridor Selatan bertumpu dari utara Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi.

Mengulas lanjut, Ishak berkata, motif rampasan dan individu yang melakukannya masih samar berikutan banyak faktor boleh dikaitkan sambil tidak menolak ia dilakukan lebih daripada seorang.

“Mungkin rampasan itu dilakukan kumpulan pengganas yang tidak digazet. Kebiasaannya dalam rampasan pesawat, motifnya untuk meminta wang tebusan.

“Walaupun hingga kini masih tiada tuntutan dibuat, bukan bermakna tidak berlaku rampasan. Ada kemungkinan pesawat tidak mendarat di tempat yang diingini membuatkan tuntutan tidak dapat dibuat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau lebih cenderung melihat motif peribadi sebagai faktor rampasan pesawat.

Oleh itu, katanya, siasatan teliti terhadap karakter dan latar belakang anak kapal dan penumpang penting bagi mengenal pasti punca rampasan dilakukan.

“Profiling penting kerana mungkin ada penumpang yang sakit jiwa dan sebagainya. Rampasan pesawat bukan mudah, tetapi kalau seseorang itu mengalami gangguan mental, apa saja dia boleh lakukan,” katanya.

-sinarharian

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets