3/15/2014

'Saya rasa satu Malaysia nak tampar bomoh...'


Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini secara berseloroh berkata, "satu Malaysia" ingin menampar pengamal perubatan alternatif Ibrahim Mat Zin atau Raja Bomoh kerana didakwanya telah memalukan negara.

"Dia seorang nak tampar saya tapi saya rasa satu Malaysia nak tampar dia sebab memalukan Malaysia," kata Khairy sambil ketawa.

"Perbuatan dia syirik, khurafat... Jadi saya tak nak layan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program bersarapan bersama masyarakat di Sungai Jelok, Kajang.

Turut hadir ialah calon BN bagi PRK DUN Kajang Datin Paduka Chew Mei Fun.

Semalam dalam satu video di Youtube,  Ibrahim mengancam untuk menampar menteri beliau dan sukan itu serta mahu menyamannya RM100 juta terhadap Menteri Belia dan Sukan itu.

Ibrahim, yang mencetus kontroversi susulan upacara perbomohan yang dijalankannya di lapangan terbang KLIA bagi mengesan pesawat MH370, mengancam demikian kerana marah dengan kenyataan menteri tersebut di Twitter.

Sementara itu, ketika diminta mengulas berhubung kenyataan calon PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail  yang meminta agar Khairy menghormati orang lain kerana memanggilnya sebagai "boneka", Khairy  berkata beliau tidak mempunyai niat untuk menghina.

Sebaliknya, jelas beliau, apa yang dimaksudkannya ialah Wan Azizah menjadi calon saat akhir untuk menggantikan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di DUN Kajang.

"Bukan saya cakap secara negatif, bukan saya nak menghina. Cuma saya kata dia pengganti "last minute" (saat akhir) kepada Anwar Ibrahim.

"Dia (PKR) dah umum Anwar akan bertanding, bukan dia. Itu saja saya nak sampaikan, bukan nak menghina," katanya.
 



Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets