3/10/2014

Suami cari mayat isteri di dalam laut

ONAGAWA - Seorang lelaki, Yasuo Takamatsu tidak berputus asa menyelam untuk mencari isterinya yang hilang selepas ombak besar tsunami melanda Jepun tiga tahun lalu.

"Isteri saya lemah-lembut dan baik," kata Takamatsu.

"Dia sentiasa berada di sisi saya baik secara fizikal atau mental. Saya masih merinduinya," tambah lelaki berusia 57 tahun itu.

Bekerja sebagai seorang pemandu bas, Takamatsu tiada pengalaman menyelam sebelum ini tetapi dia mempelajarinya demi mencari mayat isteri yang dikasihi, Yuko.

Lelaki tersebut masih tidak dapat melupakan saat Yuko kali terakhir menghubunginya sebelum hilang dibawa tsunami setinggi 20 meter.

Dalam mesej pesanan ringkas (SMS) yang dihantar pada pukul 3.21 petang (waktu tempatan) itu Yuko memberitahu: "Saya mahu pulang."

Mesej tersebut dihantar setengah jam selepas gempa bumi kuat bawah laut melanda Jepun pada 11 Mac, 2011 yang diikuti dengan tsunami yang bergerak ke pantai Jepun.

"Itulah pesanan terakhir daripada isteri saya," kata Yuko.

"Saya sedih mengenangkan dia masih di luar sana (laut). Saya mahu membawanya pulang secepat mungkin," tambahnya.

Secara rasmi, lebih 15,800 orang terbunuh dalam bencana tersebut dengan sekitar 2,636 mangsa disenaraikan sebagai masih hilang.

Dalam usaha mencari isterinya, Takamatsu dibantu oleh seorang juruselam berpengalaman, Masayoshi Takahashi. yang mengajarnya cara untuk menyelam.

Menurut Takahashi, dia gembira dapat membantu pelajarnya itu dan akan mengajar Takamatsu untuk menyelam dengan selamat.

"Menyelam untuk mencari sesuatu tidak sama dengan selaman santai kerana anda berisiko untuk terperangkap dalam serpihan hanyut dan bangkai kapal," katanya.

"Saya mahu dia boleh bertenang dan memeriksa dengan teliti di dalam laut. Dia tahu apa yang dicari," tambah juruselam tersebut.

Takamatsu juga sedar bahawa peluang untuk menemui Yuko adalah tipis.

Selepas tiga tahun isterinya hilang, arus laut telah menghanyutkan apa sahaja ke serata Lautan Pasifik dengan banyak serpihan dan mayat tenggelam di dasar laut.

"Namun, saya tidak boleh berputus asa. Saya mesti terus mencari isteri saya" kata Takamatsu. - AFP

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets