4/25/2014

10 LOMBONG EMAS TERBESAR DUNIA

Salah satu cara bagi mendapatkan emas ialah melalui kaedah perlombongan. Kita tidak tahu bila dan di mana lokasi pertama emas pertama dilombong tetapi para sejarawan mengatakan bahawa emas mula dilombong sekitar 7000 tahun yang lalu.
Lombong emas terbesar di dunia mengikut kepada pengeluaran tahunan masing-masing.
Selamat membaca !

10. Lombong Boddington (Australia)

Lombong ini dibuka semula pada Februari 2010. Lombong Emas Boddington menghasilkan 23,045 kg emas pada tahun 2011. Ia merupakan salah sebuah lombong emas yang terbesar di Australia dan juga dunia. Dalam setahun lombong ini juga menghasilkan puluhan ribu kilogram tembaga. Lombong ini dimiliki oleh Normandy Mining, Acacia Resources and Newcreast Mining.

9. Lagunas Norte (Peru)

Lagunas Norte terletak di utara Peru dan dimiliki oleh Barrick Gold Corp. Ianya juga merupakan lombong emas kedua terbesar di Peru. Lagunas Norte menghasilkan 25,188 kg emas pada tahun 2010. Syarikat pengusaha lombong ini sedang giat mengembangkan lagi projek perlombongan di tapak ini yang mana akan meningkatkan lagi jumlah pengeluaran sehingga ke tahun 2016. Lombong ini dipercayai mempunyai jumlah emas sebanyak 205,283 kg.

8. West Wits (Afrika Selatan)

Operasi perlombongan emas di West Wits dipercayai merupakan operasi perlombongan terdalam buat masa ini. Western Wits terdiri daripada 3 lombong utama iaitu Mponeng, Savuka dan lombong Tautone yang merupakan lombong paling dalam di dunia. Pada tahun 2011, Western Wits menghasilkan 24,634 kg emas di mana 7,589 kg daripadanya dihasilkan daripada lombong Tautone. Keseluruhan Western Wits yang terdiri daripada tiga lombong emas adalah dimiliki oleh AngloGold Ashanti.

7. The Super Pit (Australia)

Lombong emas The Super Pit merupakan tarikan utama pelancongan di Kalgoorlie, Barat Australia. Lombong emas ini merupakan lombong emas ‘lubang terbuka’ yang terbesar di Australia seperti yang dapat kita lihat pada gambar di atas. Ia menghasilkan 21,461 kg emas pada tahun 2009. Lombong ini dimiliki oleh Kalgoorlie Consolidated Gold Mine Pty Ltd., iaitu syarikat yang 50% dimiliki oleh Barrick Gold Corp. dan 50% lagi dipegang oleh Newmont Mining Corporation.

6. Vaal River (Afrika Selatan)

Ia merupakan operasi perlombongan emas di bawah tanah yang dimiliki oleh AngloGold Ashanti. Ia terdiri daripada beberapa lombong emas bawah tanah antaranya ialah Great Noligwa, Kopanang dan lombong Moab Khotsong. Ia menghasilkan 25,847 kg emas pada tahun 2011 dan rizab keseluruhan Great Noligwa yang terbukti adalah sebanyak 37,324 kg emas manakala lombong Kopanang memiliki rizab yang terbukti sebanyak 311,035 kg emas.

5. Veladero (Argentina)

Lombong emas Veladero merupakan lombong emas ‘lubang terbuka’ yang terbesar di Argentina. Ianya juga dimiliki oleh Barrick Gold Corporation. Pada tahun 2009, Veladero menghasilkan 19,000 kg emas dan ia mempunyai output sebanyak 27,993 kg emas pada tahun lalu. Veladero mempunyai rizab emas yang terbukti sebanyak 373,242 kg emas.

4. Goldstrike (Amerika Syarikat)

Goldstrike terletak di Nevada, Amerika Syarikat dan dimiliki oleh Barrick Gold Corporation. Goldstrike terdiri daripada tiga lombong emas – satu lubang terbuka iaitu lombong Betze-Post dan dua lagi lombong emas bawah tanah iaitu lombong Meikle dan Rodeo. Dicampur penghasilan ketiga-tiga lombong emas ini pada 2011 menghasilkan output sebanyak 33,840 kg emas. Rizab keseluruhan Goldstrike yang terbukti adalah sebanyak 379,462 kg emas.

3. Yanacocha (Peru)

Lombong emas Yanacocha merupakan lombong emas yang terbesar di Amerika Selatan. Yanacocha terdiri daripada lima lombong emas ‘lubang terbuka’. Ia menghasilkan emas sebanyak 40,217 kg pada tahun 2011. Lombong emas ini dimiliki oleh Newmont Mining Corporation, Beunaventura Group dan IFC.

2. Cortez (Amerika Syarikat)

Lombong emas Cortez terdiri daripada beberapa siri lombong emas lubang terbuka dan juga lombong-lombong emas bawah tanah. Ia merupakan lombong emas kedua terbesar di dunia dan yang terbesar di Amerika Utara berdasarkan kepada saiz dan jumlah pengeluarannya. Pada tahun 2011 sahaja ia menghasilkan 44,198 kg emas dan memiliki rizab emas yang terbukti sebanyak 451,000 kg emas. Ianya juga dimiliki oleh Barrick Gold Corporation. Untuk pengetahuan anda, lombong emas Cortez juga merupakan antara lombong emas tertua yang masih beroperasi. Ia mula beroperasi pada tahun 1862.

1. Grasberg (Indonesia)

Lombong emas Grasberg merupakan lombong emas terbesar di dunia! Bukan setakat itu sahaja, malah Grasberg juga merupakan lombong tembaga ketiga terbesar berdasarkan kepada saiz dan juga pengeluarannya. 60% pemilikannya dimiliki oleh syarikat Freeport-McMoran Copper & Gold Inc. manakala baki selebihnya dimiliki oleh Rio Tinto. Ia menghasilkan 44,913 kg emas sekaligus menjadikan pengeluaran yang terbesar untuk tahun 2011. Apa yang lebih menarik, lombong Grasberg ini memberikan kepada kira-kira 20,000 orang peluang pekerjaan.

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets