4/11/2014

Cegah sebelum parah kanser mulut

 Kanser terjadi apabila struktur genetik (DNA) yang mengawal pertumbuhan sel-sel badan anda mengalami perubahan dan mutasi. Akibatnya, pertumbuhan sel-sel itu tidak lagi dapat dikawal oleh badan menyebabkan kemunculan sel-sel kanser. Sel-sel kanser ini kemudiannya akan membesar dengan cepat untuk membentuk tumor.

Kanser mulut merupakan kanser yang ke-sebelas paling kerap dikesan di Malaysia, di mana dua kes baru kanser mulut dikesan setiap hari.  Di Malaysia, kanser mulut paling banyak dikesan di kalangan kaum India dan diikuti kaum-kaum bumiputera Sabah dan Sarawak.

Bagaimana kanser mulut boleh terjadi?

Terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko kanser mulut:

1. Merokok

Seperti yang diketahui umum, beberapa bahan dalam rokok adalah “carcinogen” iaitu ejen yang menyebabkan kanser. Berdasarkan kajian yang dijalankan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), hampir 60% daripada pesakit yang menghidap kanser mulut adalah perokok. Semakin banyak dan semakin lama anda merokok, maka semakin tinggilah risiko anda untuk mendapat kanser mulut.

2. Tembakau dan sirih

Amalan mengunyah sirih dan tembakau juga berkaitan dengan peningkatan risiko kanser mulut di India, Sri Lanka dan Asia Tenggara. Pengambilan sirih dan kapur, gambir, buah pinang dan sebagainya juga mengandungi “carcinogen” yang boleh menyebabkan kanser.

3. Alkohol

Tabiat mengambil minuman beralkohol dengan kerap meningkatkan risiko anda untuk mendapat kanser mulut sehingga 2.5 kali ganda atau sebanyak 155%. Risiko mendapat kanser mulut akan meningkat sehingga 5 kali ganda sekiranya anda seorang peminum alkohol tegar.

Pengambilan alkohol dan tembakau (rokok atau kunyah)  yang diambil bersama-sama dengan kerap boleh meningkatkan risiko mendapat kanser mulut berkali-kali ganda lagi.

4. Human papilloma virus (HPV)

HPV adalah sejenis virus penyakit kelamin yang boleh tersebar dari seorang individu kepada individu yang lain melalui sentuhan. Virus ini  terutamanya HPV 16 dan 18 boleh menjangkiti bahagian mulut kerana kulit di bahagian kelamin dan mulut tidak banyak bezanya dari segi struktur. Virus ini dikaitkan dengan kes-kes individu-individu yang menghidap kanser mulut tetapi tidak merokok dan mengamalkan pengambilan minuman beralkohol.

5. Radiasi

Radiasi dari sinar matahari, sinar X dan gamma juga boleh menyebabkan sel-sel mengalami mutasi sekiranya anda terdedah kepada sinaran-sinaran tersebut untuk jangka masa yang lama. Amalkan memakai ‘sunscreen’ pada kulit atau pelembap bibir yang mengandungi pelindung sinar UV [Sun Protection Factor (SPF)] jika anda selalu terdedah kepada sinar matahari untuk jangka masa yang lama.

6. Diet

Walaupun kaitan makanan dengan kanser mulut tidaklah sekukuh merokok dan alkohol, terdapat beberapa kajian yang mendapati pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan, terutamanya yang mengandugi karotin (contohnya lobak merah, tomato dan buah oren) boleh mengurangkan risiko untuk mendapat kanser mulut.

Malangnya, di Malaysia, ramai pesakit yang telah berada pada tahap teruk apabila dikesan menghidap kanser mulut. Hampir 70% kes yang dikesan di hospital-hospital di Malaysia telah berada pada  Tahap III dan IV yang menyebabkan kurang dari separuh daripada jumlah pesakit yang dikesan menghidap kanser mulut akan dapat hidup lebih dari 5 tahun selepas kanser dikesan.

Pemeriksaan sendiri kanser mulut
Sumber: http://stjamesdentalgroupcudahy.wordpress.com
Hal ini boleh dielakkan dengan pemeriksaan sendiri di rumah dan melakukan pemeriksaan berkala di klinik. Pemeriksaan mulut kita sendiri tidaklah sukar. Anda cuma perlukan cermin dan pencahayaan yang mencukupi, dan hanya perlu ikut langkah-langkah mudah seperti berikut:

Berdiri di hadapan cermin. Keluarkan gigi palsu (jika ada). Bersihkan tangan anda dengan sabun dan air yang bersih.
Angkat bibir atas anda dengan menggunakan jari. Perhatikan sebarang keganjilan di bahagian dalam bibir dan gusi. Ulang langkah sama untuk bibir bawah. (Gambar A dan D)
 Dengan ibu jari dan jari telunjuk, picit bibir anda perlahan-lahan. Pastikan tiada benjolan atau ulser. (Gambar B).
Tarik pipi kanan anda, perhatikan sebarang keganjilan di bahagian dalam pipi dan gusi belakang. Ulang langkah ini dengan pipi sebelah kiri. (Gambar C).
Dongak kepala anda dan lihat lelangit anda. Gunakan ibu jari dan tekan lelangit perlahan-lahan untuk memeriksa sebarang keganjilan yang mungkin ada. (Gambar E).
Tekan lidah anda menggunakan batang kayu aiskrim atau berus gigi. Perhatikan bahagian belakang lidah dan tekak anda. (Gambar F).
Seterusnya, angkat lidah dan periksa bahagian bawah lidah dan gusi berdekatan dengan lidah. (Gambar G).
Akhirnya, gerakkan lidah anda ke kiri dan periksa bahagian kanan lidah. Ulang langkah sama untuk sebelah kanan. (Gambar H).
Apakah yang patut anda cari ketika pemeriksaan mulut sendiri?

Tompok putih yang tidak hilang setelah disapu dengan kapas.
Tompok merah
Tompok merah dan putih yang bercampur
Ulser atau luka yang berpanjangan
Sebarang benjolan di dalam mulut dan leher
Kesukaran mengunyah dan menelan makanan.
Namun begitu, kehadiran mana-mana tanda yang disebut di atas tidak bermakna anda menghidap kanser mulut. Ia boleh juga disebabkan oleh keadaan lain yang mungkin tidak berkaitan dengan kanser. Doktor anda akan memeriksa dan menjalankan beberapa ujian lanjutan sebelum menentukan penyakit yang anda hidapi ketika temujanji.

Kesimpulannya, adalah penting untuk kanser mulut dikesan awal supaya rawatan boleh dijalankan segera bagi menyelamatkan nyawa pesakit. Adalah lebih baik lagi jika tabiat yang meningkatkan risiko kanser mulut  ini dihentikan sebagai langkah pencegahan.

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets