4/23/2014

Culik: Ibu terima 15 SMS daripada Penculik


MELAKA - "Lagi satu kali tak SMS, awak boleh sembahyang untuk anak awak." Itulah mesej terakhir diterima ibu kepada seorang remaja yang menjadi mangsa culik dan bunuh di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, dekat sini kelmarin.

Mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) diterima A Letchumy, 44, seorang operator pengeluaran kilang pada jam 5.35 petang kelmarin selepas anaknya, M Gunaseelan, 13, hilang sejak Ahad lalu.

Letchumy berkata, dia tidak menyangka penculikan anak bongsu daripada tiga beradik itu berakhir dengan kematian tragis apabila ditemui terikat pada kerusi di kedai kosong yang hanya terletak kira-kira 500 meter dari rumah mereka.

Menurut suami Letchumy, D Muragan, 52, kali terakhir dia melihat anak lelaki tunggalnya itu pada Ahad lalu sebelum keluar ke pasar borong untuk membeli sayur kira-kira 8 pagi.

Bagaimanapun, katanya, dia hanya mengetahui anaknya meninggal dunia selepas 39 jam tidak pulang ke rumah.

“Saya sempat berpesan kepadanya supaya tidak keluar rumah sementara menunggu saya balik dari pasar.  Tapi bila sampai di rumah sejam kemudian, saya dapati anak tiada di rumah. Saya ingat dia pergi main 'game' di kafe siber seperti selalu," katanya.

Muragan berkata, dia dan isteri terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mengatakan anaknya diculik dan meminta wang tebusan sebanyak RM20,000 melalui telefon bimbit isterinya kira-kira 7 malam.

“Kami berusaha mencari anak di beberapa kafe siber di kawasan perumahan, tapi gagal. Kami buat laporan di Balai Polis Batu Berendam pada jam 8 malam.

"Kemudian kami terima SMS pertama pada jam 8.53 malam. Antara ayatnya, ‘saya mahu wang, awak mahu anak', katanya.

Menurutnya, sebanyak 15 SMS diterima dalam tempoh penculikan itu termasuk penculik mengatur empat lokasi bagi menyerahkan wang tebusan di sekitar Banda Hilir.

"Sebelum itu, penculik sekali lagi menghubungi dan mengatakan bahawa dia tahu polis mengekori kami. Dia beri amaran untuk tidak cuba memerangkapnya,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka, di sini, semalam.

Muragan berkata, perhubungan dia dan penculik terputus beberapa jam sebelum menerima SMS tertera mesej ‘selamat jalan’ diikuti SMS terakhir ‘Lagi satu kali x (tidak) sms awak boleh sembahyang utk (untuk) anak' pada jam 5.35 petang.

 “Saya dan isteri hanya mengetahui anak sudah tiada lagi kira-kira 11.30 malam tadi (semalam) iaitu selepas suspek ditangkap di depan sebuah hotel berhampiran rumah kami yang menjadi lokasi terakhir bagi urusan penyerahan wang tebusan,” katanya.

-sinarharian

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets