4/20/2014

Jalan Kenari jadi lokasi panas


PUCHONG – Tiga daripada empat haiwan yang sering menjadi isu dibahaskan di Sidang Dun lepas kerana menimbulkan masalah dikatakan paling mudah ditemui di kawasan komersil Jalan Kenari, Bandar Puchong Jaya.

Adun Kinrara, Ng Sze Han berkata, kawasan berkenaan terlalu kotor menyebabkan ia menjadi lokasi panas pembiakan tikus dan burung gagak.

Cuma sejenis haiwan yang sering menjadi aduan wakil rakyat di Sidang Dun tidak ditemui di kawasan berkenaan iaitu monyet namun haiwan pembawa penyakit lain dapat ditemui dengan mudah.

Ketika majlis gotong-royong diadakan di kawasan itu pagi semalam, hampir 160 ekor tikus ditemui ‘bergelimpangan’ selepas Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) meletakkan racun awal pagi.

Sze Han berkata, sikap peniaga restoran yang gemar membuang sampah terus ke dalam longkang menjadi punca ia lokasi pembiakan tikus.

Pengendalian sampah yang kurang sempurna juga menjadi punca isu itu berlanjutan.

“MPSJ beritahu selepas ini pihak itu akan menjadikan kawasan ini sebagai keutamaan untuk dibersihkan kerana terlalu banyak aduan diterima daripada orang awam mengenai masalah kebersihan,” katanya.

Pihaknya mencadangkan MPSJ mengadakan pertemuan dengan peniaga memberi penerangan bagaimana menjaga kebersihan.

Sementara itu, Ahli Majlis MPSJ Yap Kok Weng berkata, beliau mengesyorkan MPSJ mengambil tindakan terhadap pengusaha yang sengaja membiarkan kawasan kotor.

Setiap premis dilengkapi dengan perangkap gris namun sikap pekerja kedai restoran membuang sisa makanan ke dalam longkang amat dikesali.

-sinarharian

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets