4/15/2014

MH370: Hak Malaysia lakukan siasatan


KUCHING - Malaysia tetap mempunyai hak dan tanggungjawab untuk menjalankan siasatan ke atas pesawat MAS Penerbangan MH370 yang hilang biarpun Australia dibenar menerajui operasi mencari.

Menegaskan demikian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, ini berdasarkan Konvensyen Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), yang memberi hak kepada Malaysia selaku negara pendaftaran pesawat Boeing 777 200ER itu.

Pesawat MAS itu yang sepatutnya ke Beijing pada 8 Mac, mengakhiri penerbangannya di selatan Lautan Hindi, kira-kira 2,500km ke barat daya Perth, Australia.

Nancy berkata, "Lokasi ini tidak berada di wilayah mana-mana negara.

"Oleh itu Malaysia sebagai negara pendaftaran MH370 ini dan negara yang bertanggungjawab di bawah Konvensyen Chicago hendaklah dianggap mempunyai bidang kuasa menjalankan siasatan kemalangan udara serta menerajui siasatan ke atasnya".

"Malaysia hanya meminta Australia untuk menerajui usaha mencari. Ini tidak bermakna Malaysia telah menyerahkan bidang kuasanya (untuk menyiasat insiden) kepada Australia," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut.

Sebelum itu beliau merasmikan pejabat baharu Amanah Raya Berhad cawangan Sarawak di sini. - Bernama

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets