4/18/2014

MH370: Masih tiada bukti daripada Bluefin-21


PERTH - Masih tiada lagi bukti kukuh tentang pesawat Malaysia Airlines MH370 ditemui daripada empat misi mencari dalam air kenderaan dalam air autonomi (AUV), Bluefin-21, di selatan Lautan Hindi sejak Isnin.

Pusat Penyelerasan Agensi Bersama (JACC) berkata, AUV itu setakat ini telah mencari kira-kira 110 kilometer persegi.

Ia telah dihantar untuk misi kelimanya hari ini, menurut agensi itu dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Bluefin-21 yang dilengkapi sistem pengesan sonar dihantar dengan harapan dapat mengesan sebarang serpihan pesawat Malaysia yang hilang dalam air memandangkan tiada lagi isyarat yang disahkan dikesan oleh alat pengesan pinger sejak 8 April lalu.

Ia menggunakan bunyi akaustik untuk menghasilkan peta tiga dimensi dasar laut dan akan mengambil masa sekurang-kurangnya 24 jam untuk menyiapkan satu-satu misi itu, yang termasuk empat jam untuk memuat turun data yang dikumpulkan.

Menurut JACC, operasi mencari pada Jumaat yang masuk hari ke-42, akan melibatkan 11 pesawat tentera dan 12 kapal dengan kawasan pencarian visual meliputi kira-kira 51,870 km persegi, membabitkan tiga kawasan.

Berdasarkan ramalan cuaca hari ini, operasi akan berdepan dengan cabaran angin timur selatan dan hujan bertaburan di beberapa tempat, menurut agensi itu.

Penerbangan MH370 bersama 239 orang berlepas pada 8 Mac dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian diperluas ke Selat Melaka serta Laut Andaman dan kini di selatan Lautan Hindi.

Selepas analisis berdasarkan data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu adalah di tengah-tengah Lautan Hindi di barat Perth, Australia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Mac mengumumkan penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". - Bernama

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets