RAWANG - Ratusan longgokan guni mengandungi serbuk Polyaluminum Chloride yang dibahagikan kepada tiga kumpulan ditemui di sebuah kawasan lapang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Teja, sejak kelmarin.
Setiap kumpulan mempunyai lebih 100 guni dam setiap satu seberat 25 kilogram.
Serbuk kimia tersebut dipercayai digunakan dalam industri suling dan menjernihkan air selain perubatan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Taman Tun Teja, Mohd Shafie Taslim, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berkenaan penemuan bahan tersebut sekitar jam 4 petang kelmarin.
“Kita mahu tahu lanjut status bahan kimia itu sama ada berbahaya atau sebaliknya. Tidak patut bahan kimia dibuang di kawasan terbuka seperti.
“Serbuk berwarna kuning itu difahamkan perlu disimpan di kawasan kering dan tidak boleh terkena air hujan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Katanya, disebabkan bimbang bakal menjejaskan keadaan persekitaran, pihaknya membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang kemudian memanjangkan insiden tersebut kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.
“Sebelum ini hanya sampah biasa dibuang di sini. Sekarang dijadikan tempat buangan sisa berjadual pula.
“Masih ada kesan tayar berhampiran sisa longgokan menunjukkan ia baru sahaja dibuang,” katanya.
Mohd Shafie berkata, pejabat JAS telah menghubunginya dan mengambil perhatian perkara itu serta akan turun melakukan siasatan.
-sinarharian
Comments
Post a Comment