4/27/2014

Murid tahun dua lemas ketika mandi bersama sepupu


BESUT - Kegembiraan seorang murid tahun dua mandi bersama sepupunya berakhir tragedi apabila dia mati lemas selepas terjun dari pelampung berhampiran Muara Kuala Besut, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, mangsa, Muhammad Sapuan Sabri, 8, mati lemas selepas dikatakan terjun dari pelampung dinaiki bersama dua sepupunya.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, sebelum kejadian, sepupu mangsa, Muhammad Abib Naupa Mohd Tajuddin, 12 , dikatakan terlebih dahulu terjun dari pelampung untuk ke tebing sebelum lemas.

Namun katanya, mangsa sempat diselamatkan bapa saudara mereka, Mohd Rimi Simbak, 40, yang kebetulan berada di tempat kejadian.

“Pada masa sama, mangsa (Muhammad Sapuan) turut terjun dari pelampung itu dipercayai ketakutan kerana pelampung hanyut ke tengah. Seorang lagi sepupunya, Muhammad Zulhafiz Hadi, 10, tidak sempat terjun dan selamat di atas pelampung itu,” katanya.

Kamaruddin berkata, mayat mangsa ditemui bapa saudara tidak lama kemudian, seterusnya dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Kata beliau, mangsa yang tinggal di Tok Bali, Kelantan bersama ibu bapa dan bersekolah di SK Tok Bali, datang ke Kuala Besut bersama keluarga ke rumah bapa saudaranya di Kampung Pantai Kuala Besut tidak jauh dari tempat kejadian.

Sementara itu, kakak mangsa, Siti Solehah, 11, berkata, dia turut berada di tepi air ketika kejadian berlaku dan menyaksikan kejadian menyayat hati itu.

Menurutnya, dia melihat adiknya terjun ke dalam air, kemudian melambai-lambai tangan beberapa kali meminta tolong sebelum tenggelam.

“Ketika itu, bapa saudara saya sedang berusaha menyelamatkan Muhammad Abib dan saya hanya mampu menjerit,”

Jenazah Muhammad Sapuan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pekan Baharu, di sini, kira-kira jam 10 pagi semalam.

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets