4/17/2014

Penumpang feri karam 'Ayah..saya tak boleh keluar, laluan penuh dengan kanak-kanak'


SEOUL: “Ayah, saya tidak boleh keluar. Laluan di koridor ini penuh dengan kanak-kanak dan ia terlalu condong,” kata seorang pelajar berusia 18 tahun yang juga penumpang feri karam menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada ayahnya.

Agensi berita Korea, NEWSIS yang memetik ABC Amerika hari ini, turut mengesan beberapa mesej daripada penumpang lain antaranya: “Saya masih hidup”, “Ibu, saya mungkin tidak dapat memberitahu kamu secara peribadi. Saya sayang kamu.” Dan mesej berkenaan dibalas dengan ringkas oleh ibunya: “Saya juga sayang kamu, anakku.”

Pelajar lelaki itu dipercayai antara penumpang Feri Sewol yang berjaya diselamatkan oleh pasukan keselamatan.

Seperti juga Park Yu-Shin, anak perempuannya antara yang hilang dalam tragedi feri karam itu, dapat berhubung dengannya sehingga saat-saat akhir.

“Dia memberitahu saya: “Kami memakai jaket keselamatan. Mereka memberitahu kami supaya tunggu dan bertenang, jadi kami menunggu mereka, ibu. Saya dapat lihat sebuah helikopter,” Park cuba mengingati mesej anaknya, dengan suara sebak dan emosi.

Kebanyakan ahli keluarga tidak dapat tidur, ada yang bermalam di jeti pelabuhan Jindo, dan merenung jauh ke laut seolah-olah anak mereka kembali dengan selamat.
“Anak perempuan saya ada di sana, di suatu tempat di dalam laut yang sejuk,” katanya seorang lagi ibu mangsa yang kelihatan sugul sambil menangis teresak-esak.

Ketika kejadian, feri dari tanah besar itu sedang menghala ke pulau peranginan terkenal Jeju di perairan selatan Korea Selatan dengan 475 orang di dalam feri. - news.com.au

          

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets