4/17/2014

Remy Ishak Harap Tiada Pihak Persoalkan Sambut Pesta Songkran



PETALING JAYA: Pelakon Remy Ishak berharap percutiannya ke Bangkok, Thailand untuk meraikan festival Songkran tidak dijadikan isu oleh mana-mana pihak.

Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Bin Ishak, 32, berkata, ketika itu dia ingin berehat dan memilih Bangkok sebagai destinasi percutian yang secara kebetulan jatuh pada perayaan pesta air di negara itu.

"Tiada kaitan saya mengagungkan perayaan itu ataupun menyokongnya. Kebetulan saya bercuti pada hari pesta Songkran diadakan dan sebagai orang luar, sudah semestinya saya berasa  teruja dengan perayaan itu.

"Saya cuma seronok apabila dapat mengetahui budaya luar. Tidak lebih daripada itu. Saya harap, tidak ada mana-mana pihak cuba memperbesarkan perkara ini," katanya.

Remy ditemui pada majlis doa selamat dan pelancaran filem CEO  di Cathay Cineplex, e@Curve, di sini pada Rabu.

Gamabar yang dipetik daripada Instagram Remy Ishak (kanan) ketika dia menyertai pesta Songkran di Bangkok, Thailand.

Isnin lalu, Remy telah memuat naik beberapa fotonya  menyertai pesta Songkran menerusi Instagram miliknya.

Perkara itu membuatkan beberapa pengikutnya mempertikaikan kehadiran Remy di pesta tersebut memandangkan ia mengenai perayaan berbentuk keagamaan.

Selain Remy, beberapa artis tempatan lain turut memeriahkan pesta itu antaranya Ana Dahlia dan Karl Shafek.

Songkran merupakan pesta air yang disambut di seluruh Thailand dari 13 sehingga 15 April pada setiap tahun.

Sementara itu, Remy berkata, dia juga sedar namanya tidak begitu popular seperti sebelum ini namun berasa senang dengan keadaan itu.

"Sekarang ini saya tahu apa yang diinginkan penonton. Mereka mahu melihat saya berlakon lebih baik daripada lakonan yang sebelumnya dan itu adalah fokus utama.

"Jadi untuk itu, saya tidak akan ke arah publisiti atau populariti. Apa yang saya harapkan cuma sambutan yang diberikan penonton terhadap lakonan saya," ujarnya.

-Mstar

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets