4/27/2014

Salah Hantar Mayat Kepada Waris


Seoul: Ketika mayat 48 pelajar perempuan mengenakan jaket keselamatan ditemui dalam sebuah kabin feri Sewol, pegawai kerajaan terpaksa mengaku mereka tersilap menghantar sesetengah mayat kepada waris.

Keadaan itu menambahkan lagi kekecewaan dan kemarahan keluarga mangsa feri malang itu.

Sumber berkata, kebanyakan waris terkejut apabila mengetahui 48 pelajar terbabit ditempatkan dalam kabin yang sepatutnya hanya memuatkan 30 penumpang.

Katanya, pegawai kerajaan kemudian akur apabila beberapa waris mempertikaikan ketelitian petugas mengendalikan kes berkenaan.

PENGUNJUNG pusat peringatan sementara gagal menahan sebak ketika memberi penghormatan kepada mangsa feri Sewol di Ansan,semalam.

“Dalam beberapa kes, keluarga mangsa menerima mayat tidak dikenali dan ia berlaku secara tidak sengaja apabila petugas tersilap menghantar mayat berkenaan,” katanya.

Pihak berkuasa pula berkata, proses pengecaman rasmi sedang giat dijalankan melalui ujian DNA dan cap jari.

Sementara itu budak lelaki yang mula-mula membuat panggilan kecemasan sejurus feri Sewol itu senget - dikenali sebagai Choi - dilaporkan tidak sempat menghubungi ibu bapanya sebelum meninggal dunia.

Kata sumber, mayat Choi ditemui kelmarin tanpa jaket keselamatan.

Bapa Choi berkata, dia terlalu marah dengan apa yang berlaku menyebabkan dia tidak mampu berbuat apa-apa kecuali memandang ke arah laut dan berdoa.

“Kalau Choi mengenakan jaket keselamatan, saya tidak terlalu kecewa begini, namun saya bangga kerana dia menghubungi talian keselamatan berbanding kami ibu bapanya,” katanya. - Agensi/Reuters

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets