4/22/2014

Tipu wanita: Kasanova bersiri dihukum penjara tiga tahun, sebatan


JURUTEKNIK komputer yang dikenali sebagai 'kasanova bersiri', K Prabaharan, 45, dibawa pegawai penjara ketika keluar dari Mahkamah Majistret Georgetown, hari ini selepas dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi kesalahan menipu seorang wanita dua tahun lalu.

GEORGETOWN: Seorang juruteknik komputer dikenali sebagai 'kasanova bersiri' dihukum penjara tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini bagi kesalahan menipu seorang wanita dua tahun lalu.

Majistret L Umma Devi membuat keputusan itu selepas K Prabaharan, 45, menukar pengakuannya kepada bersalah hari ini.
Umma Devi memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara mulai tarikh dia ditangkap semula iaitu pada 2 Januari lalu.


Prabaharan didakwa memperdaya A Vanija, 31, dengan menawarkan tender kantin Sekolah Menengah Kebangsaan Convent, Green Lane di sini sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM2,000 untuk tujuan itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di depan Hospital Lam Wah Ee, Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim pada 3 petang 8 Oktober 2012 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes yang dibentang Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee, tertuduh yang mendakwa mengenali guru besar sekolah itu, berjanji memulangkan wang berkenaan pada hari sama sekiranya tender gagal diperoleh.

Bagaimanapun, selepas memperoleh wang berkenaan, Prabaharan menghilangkan diri dan nombor telefon bimbit yang diberi juga gagal dihubungi sebelum mangsa cuba menghantar pesanan ringkas.
Ketika berbalas pesanan ringkas, tertuduh memaklumkan dia tidak takut dengan sebarang tindakan yang diambil mangsa dan wanita itu kemudian membuat laporan polis pada 10 Oktober 2012.

Terdahulu, Noor Azura meminta mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran ke atas Prabaharan serta mengambil kira kerugian yang dialami mangsa.

Peguam Ravi Chandran pula memohon mahkamah mengenakan hukuman minimum kerana tertuduh menyara dua anak berusia 19 dan 20 tahun yang kini belajar di kolej serta isteri, seorang suri rumah, selain mengambil kira pengakuan salahnya yang menjimatkan masa dan kos dalam kes berkenaan.

Beliau juga memaklumkan bahawa Prabaharan sudah insaf dan berazam untuk menjadi masyarakat yang berguna.

Prabaharan berdepan pertuduhan menipu dua lagi wanita di Mahkamah Majistret berasingan.

Majistret Sri Pracha Nanthini Balabedha menetapkan 25 April ini bagi mendengar rayuan serta fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman selepas membenarkan permohonan Ravi Chandran untuk membuat persiapan rayuan.

Terdahulu, Prabaharan menukar pengakuannya kepada bersalah bagi pertuduhan memperdaya B Vikneswary, 29, untuk menyerahkan wang RM16,000 sebagai bayaran balik hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional di Bank Rakyat, Jalan Magazine di sini pada 3 petang 6 Disember 2012.

Majistret Diannee Ningrad Nor Azahar pula menetapkan 19 Mei sebagai sebutan semula kes bagi pertuduhan memperdaya seorang warga emas, T Suppamal, 68, untuk menyerahkan enam utas rantai leher, enam pasang subang, dua pasang gelang, lima bentuk cincin dan seutas rantai tangan, yang kesemuanya bernilai RM60,000 untuk dicuci.

Prabaharan didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Hamna Lorong Helang 1, Sungai Dua, Gelugor di sini pada 10 pagi 7 November 2012.

- BERNAMA

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets