4/15/2014

Tujuh sekeluarga diikat perompak


PARIT BUNTAR - Pasangan guru menempuh detik cemas apabila seluruh ahli keluarga mereka diikat perompak dalam kejadian samun di Jalan Baharu, di sini, pagi kelmarin.

Tiga penjenayah yang memecah masuk kediaman mangsa turut melarikan pelbagai barangan berharga dan sebuah kereta milik pasangan itu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, ketika kejadian jam 5 pagi itu, pasangan guru berkenaan bersama lima anak mereka sedang tidur di bilik tidur utama sebelum dikejutkan dengan bunyi bising di bahagian dapur rumah.

Menurutnya, kedua-dua mereka difahamkan pergi meninjau keadaan di dapur sejurus terdengar bunyi bising dan terkejut apabila mendapati tiga lelaki bertopeng dan bersarung tangan, mengacukan parang serta kayu ke arah mereka.

Katanya, ketiga-tiga penjenayah terbabit turut mengugut kedua-dua mangsa supaya tidak melawan.

“Pasangan guru terbabit bersama lima anaknya kemudiannya ditawan tiga suspek, dipercayai warga tempatan yang memecah masuk rumah mereka melalui pintu hadapan yang diumpil.

“Keterangan mangsa juga mengatakan tiga suspek berkenaan yang bertutur dialek tempatan menawan lima anak mangsa yang tidur di dalam bilik berasingan.

"Semua anak pasangan itu kemudiannya diikat dan ditinggalkan di bahagian dapur,” katanya ketika ditemui media di sini semalam.

Mat Fauzi berkata, sejurus keluarga mangsa diikat, kesemua suspek menggeledah rumah mangsa dan mengambil pelbagai barangan berharga termasuk barang kemas, beberapa telefon bimbit dan komputer riba.

Menurutnya, suspek dipercayai mengambil masa kira-kira setengah jam menggeledah keseluruhan rumah mangsa.

Beliau berkata, kesemua suspek melarikan diri dengan kereta jenis Toyota Avanza milik mangsa.

“Bagaimanapun, kenderaan mangsa berjaya ditemui semula setelah ditinggalkan di pinggir jalan di Tanjung Piandang dalam keadaan sempurna pada hari kejadian,” katanya.

Mat Fauzi berkata, siasatan lanjut kes masih diteruskan dan disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

“Saya juga minta kerjasama orang awam menyalurkan maklumat untuk bantu polis menyelesaikan kes ini,” katanya.

-sinarharian

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets