5/23/2014

16 tahun hidup sekadar minum air


KULAIJAYA – “Duit simpanan dah habis, tapi sakit dihidapi sejak 16 tahun lalu masih belum pulih,” kata seorang pesakit misteri, Ali Hanafi Yusof, 44.

Dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM900 sebulan berkata, tidak mampu menanggung kos perubatan dan keperluannya, ditambah masih perlu menampung perbelanjaan tiga anak masih bersekolah.

“Saya ada minta bantuan pihak berkenaan untuk dapatkan tanggung kos rawatan, namun tiada respons,” katanya semalam.

Kisah duka, Ali Hanafi ini bermula sebaik menjalani pembedahan tiroid di tekak pada 2005, namun punca sebenar penyakit dialaminya itu belum dapat dikenal pasti hingga kini.

“Saya sangka lepas pembedahan, sakit hilang, tapi sekarang saya tak dapat telan makanan.

“Saya hanya boleh minum air yang ditapis, kalau tak, saya senang tersedak dan sesak nafas,” katanya.

Ali Hanafi berkata, keadaan bertambah buruk apabila dia sering mengalami masalah pernafasan secara tiba-tiba hingga mengganggu rutin kerja dan menyebabkan dia beberapa kali dibuang kerja.

“Sebelum kerja di sini, macam-macam kerja saya buat termasuk juruteknik, pemandu dan pembantu kedai, namun tak lama kerana selalu cuti sakit.

“Badan cepat letih, mungkin sebab kurang zat, tapi saya bersyukur majikan di sini memahami keadaan saya. Cuma ada masa saya tidak dapat elaun penuh kerana kerap cuti sakit,” katanya.

Katanya, bagi menambah sumber pendapatannya dia turut melakukan kerja sampingan pada waktu malam untuk mengumpul kos rawatan dan menampung keperluan keluarga.

“Sebelum ini saya pernah cuba makanan tambahan yang dijual dalam bentuk jus dan dapat membantu mengurangkan masalah pernafasan, tapi saya tak mampu teruskan kerana mahal,” katanya kepada Sinar Harian.

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets