5/05/2014

Bayi Dua Bulan Maut Terkena Objek Tumpul


IPOH – Seorang bayi perempuan berusia dua bulan maut di Wad Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kelmarin akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pada jam 4 petang Sabtu lalu, seorang anggota polis yang bertugas di pondok polis hospital menerima maklumat berhubung kematian bayi terbabit.

Menurutnya, mangsa dibawa ke hospital tersebut oleh sepasang suami isteri warga Myanmar yang dipercayai ibu bapa mangsa atas sebab yang tidak dapat dipastikan.

Katanya, bayi terbabit bagaimanapun meninggal dunia dan menjalani bedah siasat pada hari sama.

“Berikutan itu, pada jam 10.45 pagi ini (semalam), doktor menjalankan bedah siasat dan mendapati mangsa meninggal akibat trauma objek tumpul.

“Doktor turut mengesan unsur kekerasan jenayah ke atas mangsa bukan meninggal dunia akibat kemalangan atau terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, buat masa ini, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 .

Difahamkan, polis telah menahan ibu bapa mangsa di Falim, semalam dan siasatan masih diteruskan.

-sinarharian

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets