5/16/2014

Hidangan sup belut yang menyelerakan di bandar kuantan.

Mungkin ada yang menunjukkan aksi ‘geli-geleman’ apabila berbicara mengenai belut apatah lagi untuk mencubanya, pasti ramai yang mengelaknya.

Tekak penulis sendiri terasa kembang saat hidang­an berasaskan belut terhidang di depan mata.


Malah, tekak turut meloya ketika membayangkan belut yang tergolong dalam kategori ikan itu berenang dalam selut dan paya.

Ironinya, tatkala hidangan sup belut dihidangkan, penulis memang teragak-agak mahu mencubanya.

“Cubalah, tiada beza dengan ikan keli, tidak hanyir dan isinya lembut,” pujuk Ziela Mat Sidek, 25, isteri pemilik restoran, Kamarudani Mohamad, 36, ketika menghulurkan beberapa hidangan belut.

Selepas mencuba sedikit, penulis mengakui rasa belut tidaklah terlalu ‘teruk’ malah keenakannya sama seperti kebanyakan ikan air tawar lain.

Terletak di Jalan Wong Ah Jang, Kuantan, Restoran Cahaya Kembar Mesra itu antara restoran masakan belut yang menjadi rebutan pelanggan.

Ziela berkata, setiap hari lebih 10 jenis masakan ber­asaskan belut disajikan kepada pelanggan, antaranya mi celup belut, belut masak halia, belut masak kicap, belut masak cili api, belut masak kunyit, belut goreng lada hitam dan paprik belut.

“Belut yang kami hidang­kan tidak hanyir, sesuai untuk mereka yang pertama kali mencuba hidangan ini.

“Daging belut yang kenyal dan tidak mudah hancur itu memudahkan penggemar menikmati keenakannya ketika masih panas,” katanya.

Menurutnya, idea memperkenalkan hidangan belut itu bagi menunaikan permintaan penggemar haiwan eksotik itu sejak restoran itu beroperasi dua tahun lalu.

“Selepas mendengar keluhan pelanggan, suami nekad mencari bekalan belut untuk dijadikan sajian istimewa di restoran ini.

“Sejak itu, restoran kami menjadi tumpuan penggemar masakan belut,” katanya yang turut menerima kehadiran penggemar belut dari Mentakab, Bentong dan Raub.

Menurutnya, khasiat belut setanding dengan ikan tenggiri dan selar. Ia mengandungi 18.6 peratus protein dan 15 peratus lemak selain kaya dengan kalsium, vitamin B, vitamin D dan zat besi.

“Ramai percaya belut boleh membantu meng­ubati penyakit seperti buah pinggang, lelah, darah gemuruh, lemah tenaga batin dan luka pembedahan,” katanya.

Malah, jika diamalkan berterusan, ia boleh menguatkan daya tahan tubuh, menormalkan tekanan darah, menghaluskan kulit, mencegah penyakit mata, menguatkan daya ingatan dan membantu mencegah hepatitis.

Ziela mendapat bekalan belut dari Kuala Terengganu, Kuantan dan Pekan.

“Dalam sehari kami memperuntukkan tiga hing­ga empat kilogram (kg) belut.

“Bukan semua pandai menyiang dan membersih­kan kerana ia belut liar, bukan diternak,” katanya.

Bagi sup belut, dia meng­gunakan rempah ratus, gabungan serai, lengkuas, halia, bawang putih dan rempah sup.

“Rempah ratus ditumis sehingga naik bau sebelum dimasukkan bahan lain bagi membangkitkan selera,” katanya yang menguruskan restoran bersama kakak dan adik-adiknya, Suriati, 27, Mohd Azri, 23, dan Nur Atiqah, 23 tahun.

Hidangan lain yang disediakan termasuk mi celup, nasi lemak, nasi campur dan rojak buah.

“Bulan depan, kami akan menyediakan hidang­an ikan bakar meng­gunakan sos pencicah,” katanya.


INFO

• Belut adalah haiwan eksotik yang termasuk dalam kategori ikan.

• Nama saintifik: Monopterus Albus

• Bentuknya yang panjang dengan kepala bulat dan berinsang, malah kelihatan seperti ular yang meliuk-lentuk dalam air.

• Waktu operasi bermula jam 8 pagi hingga jam 2 pagi setiap hari

• Alamat: Restoran Cahaya Kembar Mesra, Jalan Wong Ah Jang, (menghala bandar Kuantan)

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets