5/21/2014

Ibu Tunggal Di Temui Mati Tergantung


JASIN - Seorang ibu tunggal ditemui mati dalam keadaan tergantung di bahagian dapur rumahnya di Kampung Bukit Senggeh, Selandar, dekat sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, mangsa Rogayah Mohamad, 53, ditemui di bahagian dapur rumah oleh ibunya, Besah Tawil, 78, setelah warga emas yang tinggal tidak jauh dari rumah mangsa.

Sumber berkata, mangsa anak keempat dari sembilan beradik tinggal bersendirian di rumah selepas ketiga-tiga anaknya berusia antara 16 dan 20 tahun bekerja di luar daerah ini.
Menurutnya, mangsa dipercayai mengalami kemurungan setelah kematian suami beberapa tahun lalu.

“Petang kejadian, ibunya yang tinggal kira-kira 50 meter dari rumah mangsa berasa curiga setelah melihat rumah mangsa sunyi dan mendapati semua tingkap dan pintu bertutup rapat,” katanya di sini.

Sementara itu, Besah mendakwa, tengah hari sebelum kejadian, dia berhasrat untuk menghantar nasi dan lauk ke rumah anaknya itu, bagaimanapun rumah anaknya sunyi dan menyangka anaknya keluar mengambil wang bantuan kebajikan.

 Menurutnya, dia mengetuk pintu rumah beberapa kali dan memanggil nama anaknya berulang kali tetapi tiada balasan dan tidak terfikir kejadian pelik menimpa anaknya sebelum pulang semula ke rumahnya.

“Tapi sepanjang perjalanan hati saya rasa ada yang tak kena. Petang itu saya datang semula ke rumahnya, tapi  bagai nak gugur jantung saya apabila melihat jasad arwah tergantung di ruang dapur," katanya.

Abang sulung mangsa, Minhat Mohamad, 63, berkata, adiknya seorang yang peramah dan sering bergaul dengan masyarakat sebelum mengalami kemurungan beberapa tahun lalu.

“Sebagai abang, saya dapat rasakan tekanan dialaminya selepas suaminya meninggal dunia, selain anak-anaknya keluar bekerja jauh darinya menjadikan dia kemurungan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim mengesahkan kejadian itu dan berkata kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets