5/24/2014

Laluan rahsia dalam hotel bajet


SUBANG JAYA - Dari luar nampak seperti dua bangunan berbeza, namun mengejutkan apabila sebuah hotel bajet di Bandar Puteri dekat sini mempunyai laluan rahsia yang menyambungkan premis tersebut dengan pusat urut terletak bersebelahannya.

Pengusaha pusat urut terbabit dipercayai bekerjasama dengan pengusaha hotel bagi menyembunyikan pekerja yang menawarkan urutan batin kepada pelanggan.

Difahamkan, laluan tersebut bagi memudahkan tukang urut wanita bergerak bebas dari tempat kerja mereka ke beberapa unit hotel yang menjadi tempat penginapan sejak beberapa bulan lalu.

Setiap bilik hotel dilengkapi peralatan memasak menjadi tempat tinggal tiga hingga empat tukang urut wanita.

Bertindak atas aduan awam, seramai 26 anggota Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan, Azfarizal Abdul Rashid menyerbu kedua-dua premis tersebut, lewat malam kelmarin.

Timbalan Pengarah Jabatan Perancangan Korporat MPSJ, Muhammad Azli Miswan berkata, hasil pemeriksaan mendapati pusat urut tersebut beroperasi tanpa lesen perniagaan dan disyaki menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan selanjutnya, pihaknya mendapati pekerja di premis urut menginap di hotel bersebelahan.

“Ketika serbuan, tukang urut wanita ada yang melarikan diri ke bangunan bersebelahan (hotel) melalui jalan rahsia yang rupa-rupanya tempat tinggal mereka.

“Kesemua mereka termasuk tujuh warga China, empat warga Thailand dan seorang warga Indonesia diserahkan kepada Jabatan Imigresen Selangor untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Pengusaha premis dikenakan tindakan sitaan peralatan urut dan penutupan premis di bawah UUK 3 UUKPK MPSJ 2007 kerana mengendalikan pusat rawatan kesihatan (rumah urut) tanpa lesen daripada MPSJ dan berdepan kompaun RM1,000.

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets