5/04/2014

Mati Terkena Mangkuk Jamban


Sao Paulo: Seorang peminat bola sepak maut dalam perkelahian di luar sebuah stadium di Brazil selepas kepalanya terkena mangkuk tandas yang dibaling dari tempat duduk penonton, lapor media semalam.

Laporan globoesporte menyatakan, kejadian berlaku selepas kelab Santa Cruz yang mewakili bandar Recife sekadar seri 1 -1 dengan pasukan pelawat Parana.

Kedua-dua kelab bertanding dalam bahagian dua liga bola sepak Brazil.

Sumber berkata, selepas perlawanan berlangsung penyokong kedua-dua pasukan bertempur di luar Stadium Arruda.

“Seorang daripada mereka mencabut mangkuk tandas dalam stadium dan melontarnya ke jalan di bawah,” katanya.

Ketika itu, kata sumber, berlaku pergaduhan sengit di depan Pintu 6.

Sementara itu pegawai polis Recife, Wilson Queiroz berkata, mangsa maut akibat kecederaan parah di kepalanya.

Kata Queiroz, mangkuk tandas itu jatuh betul-betul di kepala mangsa.

“Mangsa bersama seseorang ketika itu tetapi seorang orang lari sejurus selepas kejadian,” katanya.

Brazil bakal menjadi tuan rumah pesta bola sepak Piala Dunia mulai bulan depan dan masih bergelut dengan pelbagai isu, termasuk kelewatan menyiapkan stadium serta protes orang awam.- Reuters

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets