5/14/2014

Misteri Ratusan Bangkai Burung Merpati


KAMPAR - Misteri kematian kira-kira 100 burung merpati di sekitar pangsapuri di Bandar Baru Selatan, di sini menjadi persoalan kepada penduduk setempat.

Lebih membimbangkan, bangkai burung itu ditakuti akan menyebabkan penyebaran penyakit dan virus berbahaya kepada penduduk.

Tukang masak, Muhd Jaafar Zulkefli, 21, berkata, keadaan itu turut mencacatkan pemandangan sekitar kawasan berkenaan.

Menurutnya, segelintir penghuni kawasan kediaman itu meluahkan rasa bimbang jika berlaku perkara tidak diingini skibat masalah itu.

"Tambahan tukang masak seperti saya perlu menjaga kebersihan dengan teliti untuk mengelakkan kes melibatkan burung itu berlaku di sini.

“Bagaimanapun, saya melihat ada dalam kalangan penduduk memberi makanan kepada burung sehingga menyebabkan jumlahnya semakin bertambah dari sehari ke sehari,” katanya.

Penghuni pangsapuri, Ahmad Hafis Jalili, 26, berkata, kejadian itu sedikit pelik namun sudah menjadi kebiasaan kepadanya.

Jelasnya, perkara itu boleh dibendung jika penduduk sepakat untuk membersihkan bangkai burung berkenaan setiap hari.

"Mungkin cuaca panas dan tidak cukup makan punca utama burung merpati mati setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Majlis Daerah Kampar (MDKpr), Azhar Ahmad Bakri ketika ditemui berkata, pihaknya tidak mendapat sebarang aduan mengenai masalah tersebut dan menganggapnya adalah perkara biasa.

“Melalui pemeriksaan di beberapa kawasan taman perumahan lain kami dapati masalah sama turut berlaku.

"Setakat ini tiada kes kematian atau penyakit kronik dilaporkan berpunca daripada burung merpati," katanya.

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets