5/02/2014

`Nasi Ganja`popular di bandaraya Ipoh


Lebih dikenali sebagai ‘Nasi Ganja’, Restoran Nasi Kandar Ayam Merah di bandar raya Ipoh, Perak ini tidak lengang dengan pengunjung.

Sepanjang pengamatan penulis, setiap kali pengunjung bangun meninggalkan meja, pasti ada pelanggan lain yang mengisi tempat kosong itu.

Itu belum lagi yang beratur panjang menunggu giliran memesan makanan.

Nak kata ketika itu waktu makan tengah hari, jam sudah melewati 2.30 petang.

Leka melihat suasana di restoran itu, makanan yang memang digemari ramai iaitu Nasi Kandar Ayam Merah sudah ada di depan mata.


Ringkas tapi cukup menyelerakan. Itu saja yang dapat penulis ungkapkan ketika menikmatinya kali pertama.

Hanya sepinggan nasi putih berlauk ayam masak merah, sambal, kacang bendi, acar timun, telur masin, sambal kelapa dan kuah kari.

Jujurnya, ia memang nasi kandar yang lain daripada lain.

Mohamad Nikmathullah Syed Mustafa, 50, selaku pengurus dan juga ahli keluarga berkata, Restoran Nasi Kandar Ayam Merah ini sudah 55 tahun beroperasi dan tiada cawangan.

Walaupun perniagaan keluarga itu sudah diusahakan empat generasi, keenakannya tetap sama dan asli.

“Rasa nasi kandar ayam merah ini tetap sama sejak dulu kerana kita masih menggunakan resipi asal dari Irumeni, Tamil Nadu, India.

“Datuk kami membawa resipi dari India itu ke Ipoh dan sehingga kini resipi itu digunakan dalam perniagaan ini,” katanya.

Bertanyakan kelainan serta keistimewaan ‘Nasi Ganja’ ini, ia terletak pada ayam merah dan sambal kelapa.

“Ayam merah di sini memang istimewa sebab dimasak tanpa menggunakan pewarna dan menggunakan ayam dara. Warna merah pada ayam itu adalah seratus peratus daripada rempah yang digunakan.

“Sambal atau ‘dinggi’ kita juga lain daripada lain kerana ia hanya disajikan di restoran ini,” katanya.

“Lebih istimewa, sambal kelapa daripada kelapa, asam, pudina dan kacang tanah menambah keenakan.

“Sambal kelapa ini juga hanya boleh dirasai di Restoran Nasi Kandar Ayam Merah ini,” katanya.

Menggunakan 80 ayam sehari, lauk pauk lain ialah daging, sotong, udang, daging kambing, limpa dan hati.

Bercerita mengenai rempah yang digunakan, katanya ia adalah campuran daripada pelbagai rempah ratus.

Namun, keistimewaannya adalah rempah ini digiling sebulan sekali.

Dibuka jam 9.30 pagi hingga 6.30 petang setiap hari kecuali cuti raya Aidilfitri, Aidiladha dan Tahun Baru Cina.

Satu lagi keistimewaan dan keunikan Nasi Kandar Ayam Merah ini adalah nasinya.
Nasinya dimasak menggunakan periuk tembaga didatangkan khas dari India sejak Restoran Nasi Kandar Ayam Merah ini mula beroperasi.

“Untuk mendapatkan nasi yang lebih sedap, air kanji nasi yang dimasak itu akan dibuang sedikit.

“Dengan itu, nasi yang dimasak tidak melekat, lebih ringan dan tidak mudah basi,” katanya.

Bagi meneruskan legasi perniagaan nasi kandar itu, resipi turun-temurun itu diturunkan kepada Tameen Ansari Sthik , 32, yang juga generasi keempat selepas Kassim Mohd (pengasas), Abdul Rahman dan Kamal Nazeer.

Tameen Ansari yang memikul tanggungjawab sebagai tukang masak ini mempelajari resipi asli Nasi kandar Ayam Merah ini daripada datuknya Abdul Rahman.

Perut sudah kenyang dan segala keistimewaan serta kelainan Nasi Kandar Ayam Merah atau ‘Nasi Ganja’ ini sudah diperoleh

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets