5/15/2014

‘Rumah’ terapung di udara


New York: Dua kanak-kanak lelaki parah selepas rumah mainan mereka diterbangkan angin sekurang-kurangnya lima meter di udara, lapor media semalam.

Kanak-kanak berusia lima dan enam tahun itu mengalami kecederaan serius, termasuk seorang daripadanya di kepala.

Seorang daripada mereka terjatuh ke atas kereta yang diparkir manakala rakannya terjatuh di atas kaki lima.

Sementara itu, seorang budak perempuan berusia 10 tahun yang turut berada di dalam rumah udara mainan itu bernasib baik kerana terjatuh sebaik saja struktur diperbuat daripada getah itu terangkat diterbangkan angin.

Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 3.20 petang di pekarangan sebuah apartmen di South Glens Falls.

Polis peronda South Glens Falls David Gifford tidak dapat mengulas keadaan mangsa, namun budak yang jatuh ke atas kaki lima dilaporkan sedar dan mampu bercakap ketika dibawa ke hospital.

Katanya, rumah mainan itu berukuran tiga meter panjang dan lebar ditemui polis di pekarangan sekolah agak jauh dari situ.

“Menurut saksi, angin tiba-tiba bertiup kencang dan mengangkat struktur berkenaan.

“Memang ini kejadian yang tidak dijangka sama sekali,” katanya.

Sementara itu penduduk di blok apartmen berkenaan, Taylor Seymour berkata, ketika kejadian angin kuat yang tiba-tiba bertiup mengakibatkan struktur berkenaan terangkat dan berpusing seperti dilanda puting beliung kecil.

“Saya melihat seorang daripada budak berkenaan terjatuh di atas kereta manakala seorang lagi terjatuh di kaki lima berhampiran.

“Memang ia mengerikan, apabila rumah mainan itu naik semakin tinggi.

“Selepas kanan-kanak terbabit terjatuh, rumah mainan itu terbang melepasi apartmen kami dan pokok-pokok yang ada,” katanya.

Seorang elajar Emily Boucher sempat merakamkan gambar rumah permainan itu menggunakan telefon bimbitnya ketika sedang bersiap untuk beriadah di sekolahnya.

Emily dan keluarganya memberi hak eksklusif gambar itu kepada akhbar Post-Star dan hasil daripada bayaran gambar berkenaan akan didermakan kepada keluarga mangsa.

Difahamkan, rumah permainan itu dimiliki seorang penduduk apartmen terbabit yang meletakkannya di situ untuk kegunaan kanak-kanak di kejiranan berkenaan.

Struktur itu diikat pada tanah menggunakan batang kayu.- Agensi

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets