5/12/2014

Shaheizy Sam: Nak Kahwin Tapi Belum Ada Calon


SIAPA mesra disapa sebagai Sam, aktor berbakat besar dan mempunyai karakter tersendiri. Gelagatnya yang semula jadi kelakar amat menghiburkan, apatah lagi itu merupakan sifat sebenarnya dan bukan sekadar dibuat-buat.

Bakal menginjak ke usia 32 tahun pada 4 September depan, Sam mengakui kini dia sudah bersedia menamatkan zaman bujangnya tetapi masih belum mempunyai calon isteri atau kekasih.

Ketika ditemui di sebuah acara pelancaran produk masakan di Restoran Rebung Chef Ismail, pelakon filem Kongsi ini menjelaskan dia bukan cerewet memilih pasangan hidup tetapi mahukan yang terbaik agar hubungan berkekalan selamanya.

“Saya memang nak kahwin, tapi nak masuk meminang tu tak masuk-masuk sebab belum ada calon!

"Nak kata saya ni memilih, sudah tentu pasal jodoh ni kita kena memilih. Takkan sembarangan orang kita nak jadikan isteri, mesti nak kena kenal dulu hati budi masing-masing.

"Kita nak hidup bersama sampai tua dan kalau boleh sampai mati. Jadi kalau boleh mestilah nak cari calon yang elok sebagai isteri,” katanya.

Ketika diajukan soalan cepumas tentang ciri wanita yang tidak disukai Sam, dia memberikan jawapan perempuan yang bersikap ‘diva’.

Akui Sam, kesibukan menjadi punca dia tidak sempat berkenalan dengan wanita secara serius seterusnya menjalinkan hubungan cinta.

Sam juga tidak menafikan mempunyai beberapa ciri yang dikehendaki pada seseorang wanita untuk disunting sebagai isterinya.

“Kalau boleh Sam tak naklah berumahtangga dengan selebriti, sebab kita tahu masa selebriti ni bekerja. Sam sendiri seorang pelakon, kadang-kala kena kerja 18 jam, kadang sampai 24 jam.

“Sam nak jumpa anak buah dan mummy Sam kat rumah pun susah. Jadi Sam nak elakkan kahwin dengan artis sebab kalau isteri Sam pun artis, masa bila kami nak luangkan masa untuk keluarga?

"Tapi, kalau jodoh Sam dalam kalangan orang seni, Sam terima saja. Mungkin akan cuba buat rancangan tukar kerjaya seperti buat bisnes selepas kahwin,” ujar Sam.


Jejaka idaman Malaya

Teraju utama filem 8 Jam ini boleh disifatkan sebagai ‘jejaka idaman Malaya’ kerana mempunyai sifat yang disukai oleh kebanyakan wanita.

Selain kelakar dan mudah mesra, Sam juga pandai memasak dan gemar memuat naik gambar masakannya di akaun Instagram miliknya.

Jelas Sam, dia tidak kisah jika bakal isterinya tidak pandai memasak kerana dia sendiri sudah gemar melakukan rutin tersebut.

“Saya seorang yang simple, jadi saya cuma mahukan calon isteri yang boleh tolong saya dan bagi sokongan yang saya perlukan.

“Saya tak kisah dia pandai masak atau tak. Kalau pandai masak, Alhamdulillah tapi kalau tak pandai Sam boleh ajarkan!” katanya sambil ketawa.

Pastinya beruntung bagi sesiapa yang dapat memiliki Sam sebagai suami kerana pemegang watak Am dalam filem Songlap ini pandai menghargai wanita dan terbukti melalui kasih sayang yang ditunjukkan kepada ibunya sendiri, Khaty Fudziah Musa.

Terkenal dengan sikap happy-go-lucky, Sam  sebenarnya merupakan seorang yang selalu menangis tetapi bijak menyembunyikan masalahnya.

“Orang nampak saya kat luar macam ni sebab saya cuba sorokkan masalah-masalah yang saya ada. Bukan nak jadi hipokrit atau plastik, tapi bagi saya semua orang pun ada masalah.

"Jadi, kita tak perlu bercerita dengan orang lain pasal masalah kita. Nanti bila saya berseorangan saya akan ambil masa untuk fikir dan selesaikan masalah yang saya hadapi tu,” jelasnya.


Layak jadi contoh

Jarang dipalit kontroversi yang memburukkan namanya juga boleh dianggap sebagai salah satu kelebihan yang dimiliki oleh Sam. Bersyukur dengan perkara itu, Sam sentiasa berusaha untuk menjaga tingkah lakunya dan menjadi seorang yang lebih baik.

“Saya ni nak kata baik, tak adalah baik sangat. Tapi sebelum buat sesuatu perkara tu saya akan fikir pasal diri, keluarga dan periuk nasi saya. Saya cuba jaga semua tu sebab saya hargai kerjaya saya.

"Saya akan cuba jadi manusia yang lebih baik untuk diri sendiri dan peminat. Sebab saya percaya, selebriti adalah public figure dan menjadi idola kepada orang lain, jadi saya ingin tunjukkan contoh yang baik pada mereka,” katanya yang merangkul anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Evolusi KL Drift 2 di Festival Filem Ke-23 pada tahun 2010.

Selain berlakon, Sam juga mempunyai bakat dalam bidang nyanyian dan pernah melibatkan diri dalam bidang muzik dengan menyertai kumpulan M.O.B  bersama Sein Ruffedge, Shear Khan serta Haziman Ramli pada zaman remajanya.

Adik kepada aktres Zizie Ezette dan Jeff kumpulan A to Z ini turut merakamkan lagu duet bersama Yana Samsudin bertajuk Begini Caranya dan lagu Bangun bersama Liyana Jasmay yang menjadi kesukaan ramai peminat.

Walaupun minat menyanyi, Sam tidak mempunyai perancangan untuk menyanyi secara serius kerana rezekinya lebih dalam bidang lakonan.

“Minat saya daripada kecil sebenarnya nak jadi penyanyi, bukannya pelakon. Saya rasa seni dalam diri saya lebih kuat pada bidang nyanyian.

"Tapi, saya tumpukan pada lakonan sebab rezeki banyak datang dari bidang ini. Lagipun saya sedar saya tak mampu nak menyanyi sebaik penyanyi-penyanyi lain, sekadar untuk peminat saya bolehlah!” katanya sambil berseloroh.


'Jodoh' baharu Sam

Jangan terkejut kerana Sam sebenarnya telah menemui jodoh terbaharunya bernama ‘Mahsuri’.

Jodoh yang dimaksudkan bukanlah kekasih mahupun bakal isteri, tetapi produk sos dan kicap jenama Mahsuri.

Sesuai dengan hobinya yang suka memasak, Sam merupakan selebriti paling tepat bergelar duta produk tersebut.

Mahsuri merangkumi Sos Kicap Manis, Sos Kicap Manis Pedas, Sos Berperisa Ayam dan Sos Berperisa Tiram yang digunakan oleh Sam sendiri sebagai bahan perasa pelengkap masakannya.

“Siapa yang follow Instagram Sam mesti tahu yang Sam suka masak. Adanya produk Mahsuri ni, masakan Sam lebih mudah disediakan dan lebih sedap.

"Paling penting, produk ni suci dan sejahtera sebab ia tak ada bahan kimia dan selamat untuk dimakan,” katanya yang menyediakan resipi khas Nasi Goreng Hitam Manis ciptaannya sendiri.

Dalam perkembangan lain, Sam baharu selesai menjalani penggambaran filem Gol bersama Red Communication yang dijangka  berada di pawagam pada tahun hadapan.

Selain itu, kerjaya lakonannya diperlahankan bagi memberi laluan kepada aktiviti promosi produk Mahsuri.

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets