5/18/2014

Wings janji konsep luar biasa untuk persembahan akan datang

DUA kali berpentas dengan jayanya di Istana Budaya pada tahun 2011 dan 2013, Wings tidak berfikir dua kali apabila dilamar untuk melebarkan sayap muzik mereka ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Melihat kepada kapasiti Dewan Plenari PICC yang lebih besar berbanding Istana Budaya iaitu seramai 2,500 hingga 2,800 penonton, sebuah konsert tanpa konsep yang luar biasa di samping pentas yang masih asing buat kumpulan yang sudah berusia 27 itu memungkinkan banyak risiko.

"Jadi kami merasakan tajuk konsert kami, Wings Versi Tanpa Distortion itu sendiri satu kelainan.

"Sepanjang sejarah Wings, inilah pertama kali kami mengadakan sebuah konsert berskala besar yang berkonsepkan tanpa distortion, iaitu tanpa bunyi bingit daripada gitar elektrik," jelas Awie semasa pelancaran konsert Wings Versi Tanpa Distortion di PICC, Rabu lepas.

Sengaja menggunakan istilah distortion, gitaris Wings, Joe menjelaskan, muzik tanpa distortion sifatnya hampir menyamai muzik akustik atau unplugged.

Dalam muzik rock, distortion difahami sebagai bunyi yang menghasilkan efek yang pelbagai.

Distortion ialah kemestian dalam genre muzik rock. Tanpa bunyi efek itu, susunan muzik memerlukan komposisi baharu dan segar agar mencapai impak yang sama seperti muzik asal.

"Lagu-lagu yang dimainkan nanti tidak boleh mengikut versi muzik asal, ia kena disusun semula. Konsert itu memerlukan ramai pemuzik undangan untuk mencantikkan bunyi yang terhasil.

"Kalau akustika, fokusnya kepada gitar akustik sahaja," beritahu Joe yang sudah menggubah dan menjalani latihan sejak dua minggu lepas bagi memastikan kelancaran konsert yang diadakan pada 8 Jun nanti.

Untuk persembahan satu malam itu, Wings menjanjikan pemilihan lagu-lagu yang selama ini terngiang-ngiang di telinga peminat.

"Tidak hanya lagu-lagu wajib daripada kumpulan Wings, termasuk beberapa buah lagu terbaharu, kami juga akan menyanyikan lagu-lagu yang menjadi pujaan kami sebelum ini. Konsert itu akan mengalunkan hampir 20 buah lagu.

"Sesuai dengan konsep retrospektif akustika, Wings Versi Tanpa Distortions juga ditujukan untuk peminat Wings yang sudah berkeluarga yang mahu dengar muzik dalam suasana rileks tanpa bunyi bingit.

"Sesuailah memandang PICC pun berdekatan kediaman orang yang sudah berkeluarga.

"Konsert ini bukan untuk mat rock sahaja, sebaliknya bersifat keluarga," jelas Awie yang nampaknya mempunyai kesibukan berganda berbanding teman pemuzik yang lain.

Selain konsert di Putrajaya, Awie juga akan kembali ke Istana Budaya bagi menjayakan semula SuperMokh the Musical pada September dan Rejang the Musical untuk tahun 2016.

Dalam waktu terdekat, Wings bakal melakarkan satu lagi sejarah apabila album terbaharu sekali gus menjadi album ke-17 mereka yang berjudul Menakluk Kosmos akan dilancarkan pada 19 Mei.

Berbalik kepada Wing Versi Tanpa Distortions, konsert yang ditunjangi oleh Azmi Zainal Abidin itu turut disempurnakan oleh lima orang pemuzik undangan termasuklah gitaris terkemuka, Hillary Ang, pemain piano handalan, Lee Sze Wan, Edrie Hashim, Ujang (gitaris), Hamzah (perkusi) dan Izzat Izzuddin yang akan berdiri di posisi penyanyi latar.

Harga tiket menyaksikan persembahan ini dijual pada harga RM99, RM149, RM199, RM249, dan RM299. Pembelian tiket secara dalam talian boleh dilakukan di www.ezitix.net.

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets