7/24/2014

Datuk terlampau dicekup polis


KUALA PILAH – Seorang lelaki yang sudah mempunyai seorang cucu dicekup polis selepas disyaki melakukan empat kes mencabul kehormatan kanak-kanak di Kuala Pilah sekitar Mac dan Jun lalu.

Suspek berusia 57 tahun itu ditangkap Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Pilah diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Pilah, Asisten Superintendan Normansah Din, kira-kira 3.30 petang di Hilir Perak, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, suspek yang berasal dari Kampung Selabak Jalan Changkat Jong, Teluk Intan Perak pernah menjalani perintah buang daerah di Batu Kikir, Jempol selama dua tahun bermula 23 September 2011 sehingga September 2013.

Menurutnya, semasa perintah buang daerah, suspek dipercayai membuat perniagaan jualan langsung dan melakukan perbuatan mencabul kehormatan kanak-kanak di sekitar daerah ini.

“Bertindak atas laporan daripada mangsa, terdapat empat kes berlaku dekat sini melibatkan empat kanak-kanak perempuan berusia di antara lapan hingga sembilan tahun.

“Kesemua kejadian itu berlaku di lokasi berbeza. Kes pertama pada 26 Mac lalu jam 11.20 pagi di Simpang Pelangai, manakala kes kedua dan ketiga, berlaku pada Jun," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah, semalam.

Azmi berkata, kes kedua berlaku di Taman Jemapoh Indah, jam 5.30 petang pada 8 Jun lalu dan 16 Jun pada jam 6 petang di Rumah Rakyat Selaru.

"Julai pula, suspek melakukan perbuatan terkutuk itu pada 6 Julai jam 7 petang di Pasaraya Econsave Melang," katanya.

Katanya, suspek menggunakan modus operandi bertemu mangsa yang keseorangan lalu meminta bantuan membelikan makanan atau barangan dan mengajak mangsa menaiki motosikalnya.

“Suspek dengan pujuk rayunya, akhirnya berjaya mengaburi mangsa dengan membawa mangsa ke lokasi sunyi jauh dari orang ramai seperti tanah perkuburan lalu mengugut mangsa," katanya.

Sejurus melepaskan nafsu serakahnya itu, katanya, suspek membiarkan mangsa bersendirian tinggal di kawasan tempat kejadian untuk pulang ke rumah.

“Mangsa dalam keadaan trauma terpaksa berjalan kaki pulang ke rumah dan ada kalanya jarak antara tempat kejadian dan lokasi rumah lebih dari dua kilometer," katanya.

Katanya, suspek direman pada hari ditangkap sehingga hari ini bagi membantu siasatan sebelum dihantar ke Tanjung Malim Perak bagi siasatan kes polis yang lain pula.

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets