7/19/2014

Israel menyasarkan terowong yang digali oleh para pejuang Hamas


BANDAR GAZA - Israel kini melancarkan serangan darat selepas gagal melakukan serangan bom dari udara dan laut sejak 10 hari yang lalu untuk menghentikan serangan roket militan.

Israel memberi isyarat serangan mungkin terhad dengan menyasarkan terowong yang digali oleh para pejuang Hamas dan bukan bertujuan untuk menggulingkan kerajaan Hamas.

Dalam serangan semalam, sebanyak 20 penduduk Palestin dan seorang askar Israel terbunuh.

Tentera Israel memberitahu, anggota mereka mengalami kematian pertama sejak operasi serangan darat itu bermula, manakala seorang anggota tentera lagi terbunuh di selatan Semenanjung Gaza.

Kedudukan sebenar mengenai jumlah kematian itu tidak dapat dipastikan, Hamas bagaimanapun mendakwa telah melakukan serangan hendap ke atas unit tentera Israel di utara bandar Beit Lahiya. Media Israel pula menafikan dengan menyifatkan ia cuma pertempuran kecil.

Pegawai-pegawai kesihatan Gaza berkata, sebanyak 19 rakyat Palestin terkorban sejak serangan darat dilakukan bermula lewat kelmarin, manakala kumpulan pejuang berkata, 14 pejuang terbunuh dalam beberapa kejadian tembak-menembak berasingan.

Satu kenyataan daripada pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, beliau telah mengeluarkan arahan untuk memusnahkan terowong yang digunakan oleh militan untuk menyusup masuk ke Israel dan melakukan serangan.

"Kami memberi amaran kepada Netanyahu kesan yang teruk akan diterima ekoran tindakan bodoh itu," kata seorang jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri pula.

Israel yang melakukan serangan besar-besaran ke atas Semenanjung Gaza selama tiga minggu pada tahun 2008 dan awal tahun 2009 menyebabkan kematian 1,400 orang penduduk Palestin dan 13 penduduk Israel.

Israel menyambung serangan pada Selasa lalu selepas Mesir yang merupakan negara jiran Gaza mencadangkan gencatan senjata, namun Hamas dan kumpulan pejuang Gaza menolak cadangan itu dengan alasan ia tidak menepati tuntutan mereka.

"Serangan darat diluluskan oleh Kabinet selepas Israel bersetuju dengan Mesir mengenai cadangan gencatan senjata di mana Hamas menolaknya dan meneruskan serangan roket ke atas bandar Israel," kata Netanyahu.

Beberapa jam selepas pengumuman itu, dua penduduk Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza berkata, mereka dapat melihat beberapa kereta kebal Israel di wilayah Palestin.

Pegawai kesihatan Gaza berkata, sebanyak 248 warga Palestin yang kebanyakan daripada mereka merupakan orang awam terbunuh sejak Israel memulakan serangan udara dan laut pada 8 Julai lalu. - Agensi

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By | Blog Gadgets Via Blogger Widgets